BARISAN juri (dari kiri) Nick, Rita, Cheryl, dan Simon berhadapan tekanan besar memilih peserta.
BARISAN juri (dari kiri) Nick, Rita, Cheryl, dan Simon berhadapan tekanan besar memilih peserta.
4TH Power terbang dari Filipina demi The X-Factor UK 2015.
4TH Power terbang dari Filipina demi The X-Factor UK 2015.
Oleh Georgie Joseph


Penangan program realiti nyanyian kebelakangan ini kurang menyengat. Barangkali lambakan program sebegitu membuatkan penonton mula bosan dan muak.

Mereka juga semakin masak dengan ‘drama’ dan ‘permainan’ program realiti yang seringkali menobatkan pemenang yang tidak layak.

Di sebalik senario itu, sambutan terhadap program The X-Factor United Kingdom (UK) 2015 tidak tergugat.

Britain memang terkenal sebagai rantau yang melahirkan ramai bakat luar biasa terutama bidang muzik. Penyanyi daripada negara itu memang berkualiti dan mempunyai pakej lengkap. Oleh sebab itu, The X-Factor UK yang bersiaran sebanyak 12 musim terus mendapat tumpuan dan menjadi antara program realiti terkuat. Bukan saja di negara itu, bahkan seluruh dunia mengikuti perkembangan peserta dalam setiap episod.

Menerusi peringkat Six Chair Challenge yang kini hangat bersiaran, kemampuan ditunjukkan setiap peserta semakin hebat. Masing-masing sudah tunjuk taring meskipun persembahan pentas secara langsung belum bermula.

Lebih istimewa, penyertaan turut dibuka kepada bakat dari luar Britain yang mahu mengejar impian bintang antaranya Itali, Sweden dan Asia.

Kumpulan wanita, 4th Power yang berasal dari Filipina antara paling menyerlah. Empat juri iaitu Simon Cowell, Rita Ora, Cheryl Cole, Nick Grimshaw memuji kehebatan mereka.

Dianggotai empat beradik, kumpulan itu terbang dari negara kelahirannya mereka semata-mata mahu mencuba nasib di UK. Percaturan 4th Power nyata berbaloi apabila berjaya mara setiap peringkat.

Bukan di UK saja, video uji bakat kumpulan itu menyanyikan lagu Bang Bang (Jessie J) turut ditonton jutaan pelayar di YouTube. Pada uji bakat itu, mereka mendapat tepukan gemuruh penonton malah ramai bangun berdiri memberi penghargaan termasuk barisan juri.

Tinggal beberapa peringkat lagi untuk pemilihan 12 peserta yang layak mara ke pentas acara langsung, tekanan semakin dirasai semua pihak yang terbabit, tidak terkecuali juri.

Terutama pada pusingan Six Chair Challenge, kesemua juri ‘pecah kepala’ menentukan peserta terpilih mampu menyerlah atau sebaliknya.

Dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki, perempuan, berumur dan berkumpulan pada peringkat seterusnya hanya tiga berjaya meneruskan perjuangan ke pentas siaran langsung.

Rita menggalas tanggungjawab sebagai mentor kategori perempuan, Nick (lelaki), Simon (berumur) dan Cheryl (berkumpulan).

Menjadi yang pertama memilih enam peserta terbaiknya, Rita berhadapan tekanan besar apabila rata-ratanya berbakat besar sehingga terpaksa membuat banyak pertukaran.

Ikuti perjalanan peserta The X-Factor UK 2015 menerusi saluran RTL CBS Entertainment HD (Hypp TV), setiap Isnin, jam 10.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 8:29 AM