Syanty Octavia Amry


Bagaikan berada di dunia lain, persembahan ratu rock Ella memberikan sejuta kenangan manis buat peminatnya pada konsert Ella Live with the MPO-A Rock Queen’s Journey.

Dua malam menghiburkan penonton di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre, nyata persembahan Ella masih berbisa.

Dua jam bagaikan tidak cukup buat penonton terhibur dengan alunan rangkaian lagu popularnya.

Malah, muzik iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang diketuai Ahmad Muriz Che Rose dengan 90 pemuzik membuai perasaan penonton sehingga tidak terasa konsert itu bakal melabuhkan tirainya.

Berkongsi perasaannya selepas konsert, Ella mengakui sangat gembira dan puas dapat menghiburkan penonton.

“Diakui saat melangkah ke atas pentas, saya berasa gementar kerana diiringi 90 pemuzik hebat.

“Saya sudah memberikan yang terbaik dan berharap penonton terhibur dengan persembahan sepanjang dua malam ini,” katanya.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Nuri, Permata Biru, Pengemis Cinta, Pedih, Rindu dan medley Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Tiada Tangis Lagi, Retak serta Demi.

Selain itu, Ella menghiburkan penonton dengan lagu Permata Pemotong Permata, Bayangan, Layar Impian, Ku Sedia, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Standing In The Eyes of The World dan Gemilang.

Walaupun sudah tiga dekad dalam industri hiburan tanah air, Ella berkata, setiap lagu dendangannya punya cabaran tersendiri.

“Lagu Ku Sedia dan Pedih antara paling susah buat saya. Setiap lagu ada cabaran dan kekuatan masing-masing.

“Jika diberi pilihan saya perlukan latihan selama seminggu baru rasa puas hati,” katanya.

Pada malam konsert itu Ella menanggalkan kasutnya dan selamba berkaki ayam di atas pentas. Bagi Ella, itu bukan gimik, tetapi lebih kepada keselesaannya.

“Dulu apabila menjayakan konsert saya pakai kasut ‘sneakers’ sebab senang nak beraksi dan menari. Malam ini penampilan saya agak feminin dan ia mengehadkan pergerakan.

“Sebab itu saya minta izin untuk buka kasut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ella bakal meneruskan siri jelajah promosi album barunya berjudul Peace, Love, Rindu (PLR) yang tertangguh.

“Dek kerana sibuk dengan beberapa perkara dan konsert MPO ini, saya berehat sebentar dan insya-Allah selepas ini akan menjelajah ke beberapa negeri lagi untuk mempromosikan album baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 11:47 AM