ELLA tampil dengan konsep akustik selama 1 jam 30 minit dipecahkan kepada tiga segmen. FOTO: Mohd Khairul Helmy
ELLA tampil dengan konsep akustik selama 1 jam 30 minit dipecahkan kepada tiga segmen. FOTO: Mohd Khairul Helmy
Ridzuan Abdul Rahman


SELAIN ingin menyaksikan kehebatan vokalnya yang tidak berubah walaupun semakin dipanjat usia, tidak keterlaluan dikatakan peminat ingin melihat Ella dalam gayanya yang manja.

Justeru, inilah yang dinantikan mereka apabila hadir menonton Konsert Ella Unplugged In KL yang berlangsung di Istana Budaya pada 29 dan 30 Mac lalu.

Terkenal dengan ayat ‘Ella rase’ yang menjadi ‘trademark’nya, peminat spontan ketawa apabila dia menyebut ayat ini, sekali gus menggamatkan suasana dalam Panggung Sari.

Ella yang sudah lebih dua dekad terbabit sebagai anak seni, julung kali tampil dengan konsep akustik dan ia berjaya menjadi tarikan tersendiri kepada peminat untuk hadir.

Mereka hadir untuk berhibur dan menikmati persembahan Ratu Rock yang sehingga kini tiada tandingannya.

Bahkan persembahan pada malam pertama turut menggamit kehadiran tetamu terhormat iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Konsert berdurasi selama 1 jam 30 minit ini dipecahkan kepada tiga segmen yang mewakili judul album terbaru Ella iaitu Peace, Love, Rindu.

Segmen pertama Peace (Akustik) menampilkan lagu Nuri, PPP, Layar Impian, medley Cinta Dusta/ Esok Selamanya/ Aku Kau Dia/ Tiada Tangis Lagi/ Penjara Misteri, Demi, Cinta Selembut Sutera, Rama-Rama dan Sepi Sekuntum Mawar Merah 2 (2005).

Ibaratnya menyaksikan pertandingan kereta lumba kerana bermula pada minit pertama, Ella sudah memacu penonton ke arah keseronokan.

Seluruh Panggung Sari bergema dengan sorakan peminat ketika dia menyanyikan lagu Layar Impian, Tiada Tangis Lagi, Cinta Selembut Sutera dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Ella terlalu bertenaga ketika beraksi sama seperti usia mudanya suatu ketika dahulu. Penampilan bertudung dengan fesyen pakaian menarik rekaan Syomir Izwa, Ezzati Amira, Kit Woo dan Joe Chia menambahkan lagi keceriaan persembahannya.

ELLA menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban insan yang memerlukan di kem pelarian berkenaan. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ELLA menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban insan yang memerlukan di kem pelarian berkenaan. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tidak ketinggalan dia turut menjemput adiknya, Korie untuk berduet menerusi lagu popular mereka, Pergilah Sayang.

Dia juga berduet dengan suaminya, kapten Azhari menerusi lagu yang pernah dirakamnya dengan Allahyarham Deddy Dores iaitu Mendung Tak Bererti Hujan dan lagu Peace, Love, Rindu.

Segmen pertama berakhir diikuti pula dengan segmen kedua iaitu Love (Asli) yang menampilkan lagu Sayang Di Sayang / Keroncong Kemayoran dan Tak Seindah Wajah. Lagu Sembilu juga dibawakan dalam segmen ini dalam gubahan asli.

Dia bijak memanfaatkan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang membekalkan penari cilik untuk segmen ini apabila memberikan peluang untuk mereka menampilkan kehebatan tarian menerusi lagu Zapin Pematah Hati nyanyian asal Nabila Razali.

Dalam pada menyanyi, Ella membuktikan kemampuannya berkomunikasi dengan baik apabila pandai berceloteh dengan peminat.

Ada-ada saja dialog spontan yang keluar daripada mulutnya termasuk mengusik Sultanah Zahirah yang amat sporting.

Usikan Ella disambut dengan gelak ketawa oleh semua pihak yang ternyata enjoy dengan apa yang disajikan.

Segmen terakhir iaitu Rindu (Rock & Roll) menampilkan lagu Permata Biru, Kitalah Bintang, Puteri Kota, Cinta Berakhir, Dua Insan Bercinta, Bayangan, Kesal, Pengemis Cinta dan Gemilang.

Ella dan barisan pemuziknya, Aji (gitar), Ritz (gitar), Fly (bass), Ujang (drum), Paang (perkusi), Ude (keyboards) dan Roza Rasul sebagai pengarah muzik dan keyboard berjaya memberikan impak paling maksimum buat peminat.

Penampilan khas Lord Lokman, insan yang mula-mula mencungkil bakat Ella menerusi kumpulan The Boys dan lagu Dua Insan Bercinta juga amat menarik.

Ketika itu Panggung Sari terus gamat dengan sorakan dan nyanyian penonton yang turut sama mengiringi persembahan Ella.

Persembahan Ella menampilkan penyanyi latar iaitu Baby, Eja dan Jat yang berpengalaman mengiringi persembahan ramai artis popular tanah air.

Kesimpulannya, Ella memang hebat. Pujian juga wajar diberikan terhadap seluruh tenaga kerja produksi ini merangkumi sistem bunyi dan pencahayaan yang berjaya menjadikan konsert Ella antara konsert terbaik pernah diadakan.

PEMINAT spontan ketawa apabila Ella menyebut ayat ‘Ella rase’.
PEMINAT spontan ketawa apabila Ella menyebut ayat ‘Ella rase’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:00 AM