HATTAN, Hazama dan Azlan menghiburkan penonton pada Konsert Rock Tri-O di Dewan Filharmonik Petronas, Ahad lalu.
HATTAN, Hazama dan Azlan menghiburkan penonton pada Konsert Rock Tri-O di Dewan Filharmonik Petronas, Ahad lalu.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DATUK Hattan bersama Hazama dan Azlan Typewriter menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC dalam Konsert Rock Tri-O, Sabtu dan Ahad lalu.

Mereka yang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pimpinan Ahmad Muriz Che Rose berjaya menghiburkan lebih 900 penonton malam itu.

Ketiga-tiga mereka meraih kebanggaan tersendiri apabila menempatkan diri dalam kalangan penyanyi tempatan yang pernah mengadakan persembahan di dewan berprestij itu.

Dalam konsert bermula jam 8.30 malam itu, Azlan memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu Tiada Lagi Kidungmu nyanyian asal Jack Marpaung / Lefthanded dan Stairway To Heaven (Led Zeppelin).

Hazama yang menaiki pentas 15 minit kemudian menerima tepukan peminat lalu mempersembahkan lagu terbarunya, Peneman, Zombie (The Cranberries) dan What’s Up? (4 Non Blondes).

JADI tumpuan dengan lagu Memburu Rindu.
JADI tumpuan dengan lagu Memburu Rindu.

Walaupun sinonim menyanyikan lagu Melayu, juara Akademi Fantasia musim kesembilan itu membuktikan keupayaan apabila menyampaikan lagu berbahasa Inggeris dengan baik. Dia menerima tepukan gemuruh termasuk daripada penonton luar.

Hattan menjadi tumpuan malam itu apabila kemunculannya membawa lagu Memburu Rindu mendapat sorakan penonton.

Hattan memberitahu dia berbangga untuk menyampaikan lagu Biso Bonar yang memartabatkan dialek kampung halamannya di Negeri Sembilan.

Sebaik konsert bersambung 20 minit kemudian, Hazama menghangatkan persembahan dengan lagu popularnya, Relakan Jiwa.

Bagi menghargai kumpulan rock legenda Sweet Charity, Hazama menyampaikan medley lagu popular kumpulan itu seperti Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Kamelia.

Biarpun bermula perlahan ketika persembahan awal, Azlan akhirnya memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu Smells Like Teen Spriti nyanyian asal Nirvana dan Use Somebody (Kings Of Leon).

Azlan terus menghiburkan peminatnya apabila menyampaikan Lagu Untukmu yang menobatkannya sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu 2009 ketika bersama Meet Uncle Hussain.

Kerancakan konsert itu berterusan sejurus Hattan kembali ke pentas dengan menyampaikan lagu Rendang Tak Berbuah dan Gerhana.

Kehangatan sebenar konsert dirasai pada penghujung persembahan apabila ketiga-tiga penyanyi terbabit bergandingan menyampaikan lagu Smoke On The Water nyanyian asal Deep Purple, Back In Black (AC/DC), Always Somewhere (Scorpions), Another One Bites The Dust dan Bohemian Rhapsody daripada Queen.

Persembahan tidak terhenti setakat itu sebaik tiga penyanyi berkenaan memberikan ‘encore’ dengan mempersembahkan lagu Fantasia Bulan Madu, Biru Mata Hitamku, Sentuhan Kecundang dan Pawana.

Hattan berkata, dia, Azlan dan Hazama menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang mengadakan persembahan dengan iringan muzik oleh MPO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:20 AM