KUMPULAN Metallica. - FOTO Google
KUMPULAN Metallica. - FOTO Google
HM Digital

KEJAYAAN dalam menghasilkan muzik rock hadir tidak kira usia.

Ada yang meletup sebaik tampil dengan album sulung ketika berusia belasan tahun. Ada juga yang berjaya ketika usia sudah memasuki lebih suku abad.

Adakah anda tahu berapa usia bintang rock pujaan anda ketika mereka merakamkan lagu atau album paling popular mereka?

Kunpulan rock alternatif dari Australia, Silverchair merakamkan album sulung Frogstomp ketika semua anggotanya berusia 14 tahun pada 1995.

Penyanyi dan pemain gitar Megadeth, Dave Mustaine pula sudah berusia 29 tahun ketika tampil dengan album keempat, Rust In Peace pada 1990.

Selain dicalonkan dalam Grammy Awards, album berkenaan turut diiktiraf sebagai antara album thrash metal terbaik sepanjang zaman dan disenaraikan dalam buku '1001 Albums You Must Hear Before You Die'.

Berikut beberapa artis rock yang mencetus kejayaan masing-masing pada usia berbeza:

AC/DC - Back In Black

Back In Black ialah album studio ketujuh AC/DC yang dihasilkan pada 1980 dan menjadi album mereka yang paling berjaya hingga kini.

Ia juga menampilkan penyanyi baharu, Brian Johnson menggantikan Bon Scott yang meninggal dunia sebelum itu.

Ketika album ini dipasarkan, Johnson sudah berusia 32 tahun, manakala ketua kumpulan dan pemain gitar, Angus Young berusia 25 tahun serta abangnya, Malcolm Young yang juga pemain gitar kedua berusia 27 tahun.

Pemain bass, Cliff Williams pula berusia 30 tahun dan pemain dram, Phil Rudd berusia 26 tahun.

Kini, selepas lebih 40 tahun, AC/DC masih terus menakluk pentas rock dunia.

KUMPULAN Black Sabbath. - FOTO Google
KUMPULAN Black Sabbath. - FOTO Google

Black Sabbath - Black Sabbath

Album sulung Black Sabbath yang dipasarkan pada 1970 ini sering dirujuk sebagai kelahiran muzik heavy metal.

Ketika merakamkan album ini pada 1969, anggotanya Ozzy Osbourne (penyanyi), Tony Iommi (gitar), Geezer Butler (bass) dan Bill Ward (dram) masing-masing baru berusia 20 dan 21 tahun.

Pada usia sedemikian, mereka sendiri tidak menyangka Black Sabbath akhirnya diangkat sebagai pelopor kepada muzik heavy metal hingga memberi pengaruh kepada hampir semua kumpulan rock di seluruh dunia.

Kurt Cobain - Nirvana (Smells Like Teen Spirit)

Pada 1990, ketika penyanyi dan pemain gitar Nirvana, Kurt Cobain mendapat idea mencipta lagu Smells Like Teen Spirit, dia baru berusia 23 tahun.

Lagu itu akhirnya membawa Cobain bersama dua lagi anggota Nirvana, Dave Grohl (dram) dan Krist Novoselic (bass) ke puncak dunia.

Siapa sangka Cobain diangkat sebagai 'spoke person' untuk generasinya dan populariti itu juga yang membawa kepada kematiannya pada 1994.

Metallica - Master of Puppets

Ketika merakamkan album ini pada 1985, James Hetfield (penyanyi, gitar) dan Kirk Hammett (gitar) masing-masing berusia 22 tahun. Pemain dram, Lars Ulrich baru berusia 21 tahun, manakala pemain bass, Cliff Burton pula berusia 23 tahun.

Kini album yang diiktiraf sebagai antara album heavy metal terbaik itu lebih berusia berbanding usia mereka ketika merakamnya 36 tahun lalu.

KURT Cobain - FOTO Google
KURT Cobain - FOTO Google

Dave Mustaine, Megadeth (Rust in Peace)

Usia yang menginjak 30 tahun tidak bermakna anda tidak boleh merakamkan album metal.

Penyanyi dan pemain gitar Megadeth, Dave Mustaine melakukannya ketika merakamkan album Rust In Peace yang juga antara album terbaik Megadeth.

Ketika album ini dipasarkan pada September 1990, Mustaine sudah berusia 29 tahun. Bagaimanapun, tiga lagi anggota Megadeth agak muda berbanding Mustaine iaitu pemain bass, Dave Ellefson berusia 25 tahun, Marty Friedman, 27 (gitar) dan Nick Menza, 25 (dram).

Silverchair - Frogstomp

Anggota Silverchair iaitu Daniel Johns (penyanyi, gitar), Chris Joannou (bass) dan Ben Gillies (dram) hanya berusia 14 tahun ketika merakamkan album sulung berjudul Frogstomp pada 1995.

Album kumpulan dari Australia itu mencatat jualan multiplatinum di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.

Yang pasti, album ini akan terus diingati peminat muzik alternatif rock hingga hari ini.

Eddie Van Halen - Van Halen (Eruption)

Siapa pemain gitar muda yang menghasilkan lagu instrumental dan gitar solo paling 'berhantu'?

Pemain gitar Van Halen, Eddie Van Halen hanya berusia 22 tahun ketika dia merakamkan lagu instrumental Eruption.

Ia dimuatkan dalam album sulung kumpulan itu yang diterbitkan pada 1978.

Eruption diiktiraf sebagai antara persembahan gitar solo terbaik sepanjang zaman selain mempopularkan teknik 'tapping' dalam permainan gitar.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:50 AM