Kiera minta semua pihak menghentikan spekulasi negatif. FOTO INSTAGRAM
Kiera minta semua pihak menghentikan spekulasi negatif. FOTO INSTAGRAM
Norhayati Nordin


SELEPAS menimbulkan spekulasi hangat berhubung keputusannya menarik diri baru-baru ini, peserta Clever Girl Malaysia musim kedua (CGM2), Kiera, 27, akhirnya memohon maaf.

Ia dilakukan Kiera atau Noor Syakirah Mohd Azam menerusi akaun laman Instagram (IG) miliknya pada 23 September lalu.

Dalam kenyataan itu, Kiera juga meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi negatif yang tular di internet.

"Apa yang terjadi, kita sama-sama ambil pengajaran. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

"Pada kesempatan ini juga ingin saya sampaikan hasrat hati untuk meminta maaf kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.

"Saya juga ingin memaklumkan status yang pernah dimuat naik di akaun IG saya iaitu @kieracutkingdom sudah dipadam pada hari yang sama ia dimuat naik.

"Justeru, ini bermakna saya menarik balik semua kenyataan saya sebelum ini," katanya.

Peserta mewakili Pulau Pinang itu turut berjanji kepada pihak produksi untuk tidak memberi sebarang komen terhadap keputusan penarikan diri yang dibuatnya.

Kiera juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang setia mengikuti perkembangan dirinya sepanjang pembabitan dalam program CGM2 di TV3.

Graduan Sains Kejuruteraan dari Universiti Oxford, United Kingdom itu juga gembira kerana kejayaan yang dibuktikannya dalam akademik kini menjadi inspirasi pelajar sekolah dan golongan belia tanah air.

Sementara itu Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dalam kenyataan kepada media menegaskan segala dakwaan bekas peserta CGM2 itu tidak benar sama sekali.

TV3 juga sentiasa mengambil berat terhadap integriti program diterbitkan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang pada mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu serta berunsur fitnah.

TV3 juga sedia maklum mengenai permohonan maaf bekas peserta CGM2 itu.

Kiera sebelum ini mengambil keputusan menarik diri dari program

CGM2 yang dihoskan Alif Satar kerana tidak puas hati dengan tindakan penerbit yang disifatkannya sebagai berat sebelah.

Program diterbitkan Primeworks Studios Sdn Bhd (PWS) untuk TV3 itu bersiaran secara langsung setiap Jumaat, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:13 PM