RAHIM  persoal berapa ramai artis MIG sudah menjadi jutawan?
RAHIM persoal berapa ramai artis MIG sudah menjadi jutawan?
Adam Salleh

Ikutkan minggu ini mahu mengulas kematian Datuk Aziz Singah, Tamam Idris dan Sani Ahmad. Ketiga-tiga tokoh ini berjasa pada dunia seni terutama lakonan dan penerbitan. Tidak semena-mena David Teo buat hal mengkritik P Ramlee (Tan Sri), sudahnya telefon bimbit penulis tidak sunyi daripada panggilan presiden persatuan seni tanah air, artis veteran, adik angkat P Ramlee, menantu P Ramlee dan anak P Ramlee.

Masing-masing berbulu dengan kenyataan David Teo menghina Seniman Agung itu. Bagi yang lali menemuramah tauke MIG ini, dia acapkali bercakap ikut sedap gigi. Hasratnya untuk melihat ramai pelakon jadi jutawan memang baik, cuma nasib dia tidak baik gatal sangat mulut mengaitkan P Ramlee. Melalui kolum ini pada 8 Jun lalu, penulis sudah huraikan Siapa kata P Ramlee melarat, ‘sengkek’ dia ‘taukelah!’

Artikel itu terhasil apabila hangat di media sosial konon akhir hidup P Ramlee merempat habis, kira sengkeklah. Sekali lagi diperingatkan orang sengkek atau merempat mana ada bisnes panggung wayang, rumah, kereta dan gaji bulanan tetapi P Ramlee memiliki semuanya itu.

David Teo ini mungkin terpengaruh dengan media sosial lalu dikaitkan Bukit Bintang dan di DBKL, walhal kedua-dua lokasi itu tidak relevan langsung pada P Ramlee dan anaknya, sebabnya Sazali yang kini menetap di Semenyih kita maklum hanya bekerja di Alam Flora bukan di DBKL.

P Ramlee sebagaimana dikata anak sulungnya dulu, Nasir (Allahyarham) jika sesiapa menyentuh ayahnya itu, keluarga tidak perlu menjawab sebabnya ada pihak lain (terutama peminat fanatik) akan membalas pihak yang mengkritik P Ramlee. Impaknya jelas selang sehari selepas komen biadab David Teo itu, pelbagai persatuan, artis dan peminat mula menyumpah seranah hingga isu ini jadi kontroversi.

Untuk menegak benang basah, David Teo menyalahkan media yang dikata salah tafsir kenyataan dibuat. Apalagi Wham (Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia) diterajui Tengku Khalidah Tengku Bidin bingkas mahukan David lebih bersikap bertanggungjawab.

Implikasinya malam semalam (Selasa), Wham minta wartawan hiburan boikot prebiu filem terbaru MIG. Selama ini hubungan wartawan hiburan dengan David Teo cukup cantik, hingga timbul cerita di kalangan penggiat industri ada wartawan ‘dibela’ David Teo ini. Elok juga Wham ambil tindakan begini, sebabnya sejak mempunyai berita ‘on line’ sendiri, David mulai pandang rendah publisiti di media cetak.

Bukan nak kata ketika penulis hadir di Malam Gala filem Ada Apa Dengan Cinta 2, sewaktu bertemu David di luar panggung (mahu ke tandas), dia menyapa penulis, “Harian Metro!” Raut wajahnya bukan melawak tetapi seperti menyindir, bukan dia tidak kenal penulis dari akhbar berkenaan. Mujur juga dia tidak menokok tambah perkataan boleh merangsang emosi, jawabnya di situ jugalah boleh berapi-api.

Yang pasti nada dia seperti merendahkan usaha membawa AADC2 yang dikata payah nak jual dengan mengambil kira filem Indonesia pernah dibawa syarikatnya dulu, tidak laku langsung. Mujur penulis tidak tulis kenyataan David itu, jika tidak dia akan malu alah sendiri.

Sebabnya filem AADC2 mencatat kutipan lebih RM4 juta. Dalam banyak pihak yang tidak puas hati dengan David Teo, agak menarik bila Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jelani tampil dengan menyifatkan David Teo ini kurang ajar.

PKAVM ini yang baru kematian penasihatnya, Aziz Singah, payah membuat kenyataan akhbar tetapi berbeza apabila P Ramlee diusik. Melalui kenyataan diberi, PKAVM menanyakan kembali pada David Teo selaku produser berapa ramaikah artis diangkatnya menjadi jutawan?

Ada benar juga kenyataan PKAVM, jika artis MIG sudah jutawan mengapa ramai di kalangan mereka masih berpeluh ketiak di lokasi? Ibarat cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, David Teo ini terlupa Syawal sesuatu yang sentimental dengan P Ramlee.

Dilahirkan pada 22 Mac 1929 selepas khutbah Aidilfitri dan pada Aidilfitri juga P Ramlee meninggalkan Pulau Pinang merantau ke Singapura. Justeru baik David Teo dan penggiat seni tanah air usah bercakap ikut sedap gigi lagi bukalah minda, usah dikatup nanti terlingkup.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 1:03 AM