ZULKIFLI bersama sebahagian ahli Peseni
ZULKIFLI bersama sebahagian ahli Peseni
Adam Salleh

Pasang surut dunia hiburan itu lumrah, bagi artis hari ini popular esok lusa belum pasti. Bagi tenaga produksi belakang tabir dari pengarah hingga ke pemegang ‘boom’ hari ini banyak ‘job’ (istilah orang filem jika mendapat projek), esok lusa boleh bertukar menjadi ‘jobless.’

Di kala ekonomi negara yang beragam ini, rezeki bagi penggiat industri hiburan memang sukar dijangka layaknya bak rezeki rimau. Apa yang terdaya hanya memerah keringat kerana bagi orang filem sekiranya tidak keluar ‘shooting,’ alamat tidak berasaplah dapur.

Yang luar biasa di dunia hiburan kita pula di kala artis dan penggiat seni berhempas pulas meneruskan ‘survival’ mereka, persatuan artis yang tumbuh meriah sakan, tidak terkira banyaknya. Minggu lalu, penulis diundang ke majlis pelancaran satu lagi persatuan baru, Perseni.

Majlis pelancarannya diadakan pada 13 Oktober iaitu Khamis. Perseni adalah singkatan Persatuan Seni Artis Kuala Lumpur dan Selangor, di mana ahlinya terdiri daripada pelbagai bidang seni iaitu pelakon, penyanyi, pemuzik, pemain teater, pelukis, pengukir dan pelawak.

Ahli dari umur 18 tahun sehingga seumur hidup, yuran dikenakan RM30, sementara ahli seumur hidup RM100. Matlamatnya mengadakan kegiatan seni untuk menambahkan ekonomi ahli dan sumbangan seni dan kebudayaan kepada masyarakat supaya ada kesinambungan.

Seniman veteran Datuk Zulkifli Zain dinamakan sebagai Presiden, sementara Naib Presiden adalah komposer, S.Atan, Siso (Koprantasa) dan Datuk Hajah Nurhayati. Buat masa ini keahlian Perseni terhad pada 70 ahli saja, tetapi berusaha menambahkan ahli dalam waktu terdekat.

Sebelum ini Zulkifli adalah Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), namun jawatan itu kini disandang seniman veteran Rahim Jailani sejak 2016. PKAVM mula ditubuhkan pada 2009 pernah diterajui bekas Presiden Seniman, Datuk Ismail Huston disusuli Datuk Aziz Sattar berhadapan kontroversi dalaman apabila pemangku presiden, Kismah Johari didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik.

PKAVM turut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi Tan Sri Jins Shamsuddin baru-baru ini, kini mempunyai ahli berdaftar seramai 200 orang dengan yuran tahunan RM50 seorang. Dramatis Kismah pula yang kena ‘reject’ daripada PKAVM nyata tidak mahu mengaku kalah, apabila menubuhkan Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dengan menjawat jawatan pengerusi.

Ramai tidak sedar baru-baru ini ditubuhkan pula Kelab UMNO Artis Tanahair (KUAT) dengan Datuk A.Rahman Hassan selaku presiden. Produser Datuk Yusof Haslam dan pelawak Azlee Senario turut menjadi tenaga penting di sebalik penubuhan kelab itu.

Penubuhan KUAT mengingatkan kita pada BAN (Barisan Artis Nasional) pada 2012 yang diterajui Datuk AC Mizal. Usahkan pihak media, orang biasa pun dapat meneka BAN ditubuhkan menjelang PRU-13 (Pilihan raya Umum 2013) ketika itu ada kait mengait dengan politik.

Dan sudah pastilah KUAT lebih ketara kerana label parti tertera pada kelab mereka. Siapa saja ada hak menubuhkan persatuan. Cumanya lanskap dunia hiburan kita berbeza dengan Barat. Apabila artis atau pemimpin persatuan sudah menempek diri masing-masing pada parti tertentu implikasinya pada mereka sendiri kerana mereka harus sedar peminat atau penggemar mereka tidak terikat pada satu parti saja.

Protes senyap di kalangan peminat, samalah seperti pengundi bak api dalam sekam. Cumanya apakah KUAT kelak menerima nasib sama seperti BAN yang lenyap bagai ‘kubur tidak bertanda’ sebaik berakhirnya PRU-14 nanti. Andai terjadi, maka sia-sialah penubuhan KUAT.

Dikaitkan di sini persatuan berkaitan seni di tanah air lain antaranya, Persatuan Penyanyi Pemuzik Penulis Lagu Tanahair (PAPITA), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kebajikan Artis-Artis India Malaysia (MIEWA), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA), Persatuan Syarikat Pos-Produksi & Animasi Malaysia (POSTAM), Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) dan Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM)

Tidak ketinggalan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) diterajui Datuk DJ Dave dan Persatuan Karyawan Malaysia diterajui Datuk Freddie Fernandez. Untuk Karyawan yang mempunyai keahlian 3,000 orang yuran tahunan dikenakan sebanyak RM50.

Di sisi lain Seniman yang baru selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-15 pada Sabtu lalu mengekalkan Zed Zaidi sebagai presiden kini mempunyai keahlian 6,000 dengan yuran baru dari RM50 ke RM150. Seramai 6,000 ahli Seniman, yang hadir AGM hanya 113 orang.

Tidak sewajarnya ini berlaku jika ahli tahu tanggungjawab mereka pada persatuan. Sepatutnya AGM Seniman tempoh hari kalaupun tidak dihadiri 1,000 ahli, memadai 500 ahli sebagai tanda sokongan jitu diberi pada presiden. Untuk salahkan ahli, barangkali ahli juga binggung kerana terlalu banyak menyertai persatuan diharap perjuangkan nasib mereka, langsung tidak tahu presiden mana wajar diberi mandat penuh.

Natijahnya, terlalu banyak persatuan artis muncul, pihak kerajaan pun bercelaru pihak manakah lebih layak disalurkan dana untuk dimanfaatkan penggiat seni tanah air. Usah nanti mereka yang beria-ria menjadi presiden, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 7:46 AM