Elvina nafi edar gambar kepada penulis blog. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Elvina nafi edar gambar kepada penulis blog. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD

Rudy Imran

PELAKON semakin mencipta nama, Elvina Mohamad sedih dan kesal dituduh sengaja mengedarkan gambar sendiri yang dikatakan seksi sewaktu bercuti di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini dengan tujuan meraih publisiti.

Pelakon utama drama Shhh! I Love You itu menafikan tuduhan itu dan menegaskan dakwaan dilemparkan melampau.

Ujar Elvina ketika dihubungi, hari ini, berkata, tidak mungkin dia mahu memalukan diri sendiri dengan mengedarkan kepada penulis blog semata-mata mahu meraih perhatian.

“Ada kata kononnya saya sengaja mengedarkan gambar percutian di Langkawi itu supaya boleh meraih pengikut di laman sosial Instagram. Masalahnya gambar itu saya letak dalam akaun peribadi bukan dalam akaun yang boleh dilihat umum.

“Kalau benarlah saya mahu meraih populariti dengan cara itu lebih baik saya letakkan saja gambar berkenaan dalam laman sosial yang boleh dilihat umum,” katanya.

Tegasnya lagi, tiada sebab dia menyerahkan gambar terbabit kepada portal hiburan dan blog semata-mata mahu ia menjadi isu kerana ia akan memberi implikasi buruk kepada nama baik dan juga reputasinya.

Kata Elvina, sebagai artis baru dia mahu peminat tahu bakat dimiliki bukan melalui kontroversi.

Elvina tidak faham banyak perkara negatif dikaitkan dengan dirinya kebelakangan ini.

“Jujur, saya sendiri pun berasa tidak selesa kerana sering dikaitkan dengan perkara negatif. Sebelum ini, saya dituduh kaki disko dan sekarang isu baju seksi pula.

“Kalau hendak diikutkan apa saya pakai di Langkawi sesuai dengan keadaan kerana di tepi pantai. Jika ada berasa kurang selesa, saya memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Kata Elvina, selepas memohon maaf timbul pula isu sengaja edar gambar dengan tujuan meraih publisiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 8:40 PM