KUMPULAN program Krabi-Hatyai Education Trip 2018.
KUMPULAN program Krabi-Hatyai Education Trip 2018.
HM Digital

Menerusi pelbagai program mobiliti seperti Global Leadership Programme (GLP), Global Mobility Programme (GMP) dan Global Internship Programme (GIP), mahasiswa berpeluang memperoleh pendedahan antarabangsa, sekali gus memberi elemen nilai tambah dalam usaha melahirkan graduan yang holistik, kompeten dan berketrampilan.

MSU College Shah Alam, Selangor, baru-baru ini menganjurkan program Krabi-Hatyai Education Trip 2018 bagi memberikan pengalaman dan pendedahan kepada penuntut menyahut cabaran mengendalikan aktiviti merentasi dua negara Malaysia serta Thailand.

Program selama lima hari itu membabitkan penyertaan 72 penuntut daripada pelbagai bidang pengajian.

Tujuan program berkenaan untuk memantapkan kemahiran insaniah selain meningkatkan keyakinan diri untuk bersaing di peringkat global.

Program dimanfaatkan lagi dengan pelbagai aktiviti antaranya lawatan ke Kem Chang Puak, pasar terapung, pantai Ao Nang, Kolam Emerald, Krabi Technical College dan beberapa lagi tempat menarik.

Selain itu, peserta turut berpeluang menjalankan program jalinan komuniti di Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Ponoh Kuan Bo Sai dengan melakukan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dan penyampaian sumbangan kewangan.

Pengarah Program, Rifqie Zhariff Zuraidi yang juga penuntut Diploma Pengurusan Pelancongan berkata, pelbagai manfaat dikongsi bersama termasuk memperkenalkan keunikan seni kebudayaan negara masing-masing.

“Pengalaman yang diperoleh daripada program seumpama ini mampu membuka mata dan memberikan perspektif baru kepada penuntut.

“Semakin jauh kita mengembara, maka semakin banyak ilmu baru yang diperoleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 2:01 PM