MSU mengorak langkah menuju kecemerlangan dengan  penawaran pengajian bertaraf global.
MSU mengorak langkah menuju kecemerlangan dengan penawaran pengajian bertaraf global.
Ruhaiza Rusmin

Management & Science University (MSU) diiktiraf antara universiti terbaik di Malaysia dengan memberi fokus ke arah menawarkan pelbagai program pengajian yang mampu melahirkan modal insan berkualiti serta memenuhi keperluan global.

Bidang pengajian berkenaan termasuk perubatan, sains kesihatan, farmasi, sains maklumat dan kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan pengajian profesional, pendidikan, hospitaliti dan seni kulinari serta muzik dan fesyen.

MSU memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti dan penggunaan kaedah pengajaran kreatif ke arah melahirkan graduan kompeten serta versatil. Program pengajian ditawarkan juga menjamin perkembangan kemahiran insaniah melalui pengalaman pembelajaran menyeluruh.

Kualiti pendidikan universiti ini terbukti apabila disenaraikan sebagai Universiti Cemerlang sebanyak dua kali oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Manakala pencapaian terkini MSU termasuk memenangi ‘The Most Entrepreneurial Private University’ pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (MEA) 2016 dan Penarafan lima bintang dalam QS 2016 bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif.

Selain mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), MSU mendapat pelbagai pengiktirafan daripada badan bebas Malaysia dan antarabangsa. Akreditasi itu termasuk sebagai ‘Premier University Status’ daripada Accreditation Services for International Colleges (ASIC), United Kingdom, The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21), Jepun serta United Grants Commission, Sri Lanka.

Program pengajian yang ditawarkan MSU memenuhi piawaian ditetapkan oleh pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa. Menggunakan modul pembelajaran terkini dengan penerapan elemen keusahawanan di samping sokongan pensyarah berpengalaman melalui program mentor-mentee, pelajar akan dibantu bagi mencapai keputusan cemerlang.

Dengan suasana prasarana lengkap, pelajar bukan saja belajar dalam suasana kondusif tapi juga merasai suasana sebenar dunia kerjaya dengan kerjasama MSU dan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP).

Kajian Pengesanan Graduan oleh KPT menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.6 peratus dan tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sementara bagi melahirkan graduan yang dilengkapi kemahiran global, MSU turut menyediakan platfom khusus iaitu Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 11:23 AM