BERGOTONG-royong membantu memperbaiki rumah penduduk yang usang adalah sasaran utama progarm dijalankan.
BERGOTONG-royong membantu memperbaiki rumah penduduk yang usang adalah sasaran utama progarm dijalankan.
Ruhaiza Rusmin


Aktiviti sukarelawan dalam kalangan pelajar terbukti mampu membentuk jati diri sekali gus menjadi pemangkin dalam usaha melahirkan generasi pelapis berwibawa dan berdaya saing untuk masa depan.

Di MSU College pelajar sentiasa didedahkan pelbagai aktiviti jalinan komuniti membabitkan segenap lapisan masyarakat.

Bagi menyahut seruan itu, MSU College Sabah mengambil inisiatif menganjurkan program jalinan komuniti di Kampung Babah, Penampang, baru - baru ini.

Program membabitkan 45 pelajar dari pelbagai program pengajian itu menyasarkan bantuan membaiki kediaman seorang penduduk kampung berkenaan, Aldenson Alexender yang sudah agak usang dan kurang terurus.

Peserta, Evlina Jim yang juga pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan mengakui program berkenaan dapat memberi manfaat besar kepada pelajar seperti memantapkan lagi sifat kepemimpinan dan semangat kerja berpasukan.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat menghulurkan bantuan serta dapat meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

“Ia secara tidak langsung dapat memupuk nilai positif serta membuka peluang kepada kami membina keupayaan dan keyakinan diri serta menyemai keprihatinan,” katanya.

Inisiatif yang dilakukan MSU College adalah selari hasrat melahirkan graduan holistik, mempunyai kemahiran insaniah tinggi, kompeten dan cemerlang di peringkat global juga mempersiapkan mereka dengan pengalaman pembelajaran menyeluruh seiring keperluan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:21 PM