ABDUL Halim (tiga dari kanan) menghadiri Majlis Ulasan Buku Perjalanan Sejarah Kewangan Islam di Malaysia.
ABDUL Halim (tiga dari kanan) menghadiri Majlis Ulasan Buku Perjalanan Sejarah Kewangan Islam di Malaysia.
ABDUL Halim menyampaikan ucapan selepas menerima Anugerah Merdeka 2017.
ABDUL Halim menyampaikan ucapan selepas menerima Anugerah Merdeka 2017.
MENJADI rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam sempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014.
MENJADI rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam sempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Tanpa jasanya mungkin Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) tidak menjadi satu organisasi terkenal hari ini kerana beliau adalah watak utama yang memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan bank Islam pertama di Malaysia.

Berlatar belakang pendidikan agama sewaktu di sekolah menengah selain mempunyai kelulusan ekonomi di peringkat ijazah sarjana muda sehinggalah ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Oxford, United Kingdom, ternyata beliau mempunyai pakej lengkap dan menjadi individu paling sesuai menerajui bank berkenaan.

Walaupun pada peringkat awal penubuhan berhadapan cabaran, dengan pengalaman kira-kira lima tahun di Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) sebagai Ketua Ahli Ekonomi serta Ketua Jabatan Perancangan dan Pembangunan, akhirnya penubuhan Bank Islam berjaya direalisasikan pada 1 Julai 1983.

Beliau ialah Datuk Dr Abdul Halim Ismail, 78, iaitu pengarah urusan pertama BIMB yang menerajui bank berkenaan selama 27 tahun dari 1983 hingga 2010 termasuk menjadi Pengerusi Eksekutif BIMB Securities Sendirian Berhad.

Siapa sangka, anak kampung kelahiran Kepala Batas, Alor Setar, Kedah ini mempunyai kebijaksanaan luar biasa dan di bawah kepemimpinannya, bank berkenaan pesat membangun dan unggul di peringkat antarabangsa.

Penulis bersama jurugambar Mohd Hafiz Sohaimi berpeluang menemu bual Bapa Perbankan Islam itu dan kami sendiri kagum dengan perkongsian pengalamannya dalam membangunkan BIMB menggunakan pendekatan kontemporari.

Beliau antara model terbaik yang mengadunkan kepakaran dalam bidang ekonomi, pengalaman sebagai pemimpin tertinggi institusi kewangan Islam terkemuka dan kefahaman yang baik berkaitan prinsip syariah dalam kewangan Islam.

Jasa Abdul Halim dalam membangunkan industri kewangan Islam mendapat pengiktirafan bukan saja peringkat nasional tetapi juga antarabangsa sekali gus membuktikan beliau adalah orang hebat yang berada pada kelas tersendiri.

Untuk rekod, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam sempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014 dan menerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) atas pencapaian berterusan dalam bidang kewangan Islam.

Terbaharu, Abdul Halim menerima Anugerah Merdeka 2017 bagi kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangan cemerlang dan peranan utamanya dalam mewujudkan bank Islam pertama di negara ini yang membawa kepada pembangunan dan pertumbuhan sektor perbankan, insurans dan kewangan Islam negara dan rantau.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Menara Berkembar PETRONAS pada September lalu.

Selain Abdul Halim, lima lagi tokoh menerima anugerah berkenaan iaitu Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood, Profesor Dr Balbir Singh Mohan Singh, Dr Timothy Wiliam, Profesor Ir Dr Masjuki Hassan dan Profesor Dr Anthony Crothers Milner.

Sejak diperkenalkan pada 2007 hasil kerjasama PETRONAS, ExxonMobil dan Shell, Anugerah Merdeka sudah mengiktiraf 44 individu dan dua organisasi cemerlang. Masing-masing dimartabatkan menjadi ikon untuk diteladani generasi pascamerdeka.

PERMINTAAN MASYARAKAT

Berkongsi pembabitan awalnya dalam perbankan Islam, Abdul Halim berkata, ia bermula selepas kerajaan bersetuju menubuhkan Bank Islam dan melantiknya sebagai Pengarah Urusan BIMB yang pertama di negara ini.

Beliau berkata, semua itu bermula selepas adanya desakan daripada orang Islam (Melayu) menggunakan platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut penubuhan Bank Islam kerana mereka enggan berurusan dengan bank konvensional disebabkan adanya unsur riba.

“Kemudian pada awal 1970-an, berlaku satu kejutan apabila Pertubuhan Negara Islam (OIC) mengambil keputusan menubuhkan Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah berlandaskan prinsip syariah dan undang-undang Islam.

“Selepas itu berlakulah pengkajian syariah secara besar-besaran berkaitan amalan bank.

“Berikutan itu, berlaku kejutan seterusnya apabila bank Islam dibuka di beberapa negara di Timur Tengah seperti Dubai pada 1975, Sudan (1977), Mesir (1978), Jordan (1978) dan Bahrain (1979),” katanya kepada Nuansa.

Katanya, Malaysia menyertai kejutan itu sekitar 1978 apabila perbincangan peringkat sektor swasta diadakan bagi membincangkan penubuhan Bank Islam.

Menurutnya, pada peringkat awal agensi yang terbabit dalam perbincangan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) dan Tabung Haji.

“Tetapi disebabkan sektor swasta tidak mempunyai dana, kerajaan mengambil inisiatif ini (menubuhkan Bank Islam) dan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Bank Islam pada 1981.

“Di sini bermulanya titik tolak pembabitan kerajaan dalam penubuhan Bank Islam dengan modal berbayar RM80 juta,” katanya dan menambah selepas itu beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan BIMB pertama.

Katanya, dunia Islam termasuk Malaysia tidak mempunyai Bank Islam sejak 1900 dan ramai umat Islam meminta supaya ia diwujudkan untuk memudahkan mereka berurusan dengan bank berlandaskan syariah.

“Dari sudut kepatuhan Islam pula, riba adalah dosa besar yang patut dielakkan dan ini adalah peluang terbaik saya untuk menjayakan penubuhan Bank Islam demi kesejahteraan umat Islam secara amnya.

“Manakala dari segi pembangunan ekonomi Islam pula, mereka menginginkan sistem perbankan Islam yang mampan dan sistematik untuk pembangunan ekonomi keluarga serta negara. Ini pendorong saya menerima peluang ini (membangunkan sistem perbankan Islam),” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kesan penubuhan Bank Islam terhadap bank konvensional iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya, bagi kesan jangka pendek, pengenalan dan pelaksanaan sistem Islam pada peringkat awal diadakan adalah tidak begitu besar kerana penubuhan dan pelaksanaan Bank Islam dilakukan dengan cermat serta berhemah.

“Bank Negara memberi tempoh 10 tahun kepada Bank Islam untuk mengukuhkan operasinya dan pada peringkat awal ia tidak mempunyai banyak kesan kepada bank konvensional dan Bank Negara tidak membenarkan bank Islam lain ditubuhkan pada waktu itu.

“Selepas tujuh tahun beroperasi, jika dibandingkan aset Bank Islam dengan bank konvensional ialah hanya 1.6 peratus pada 1990. Ini bermakna kewujudannya tidak menjejaskan bank lain,” katanya.

Abdul Halim berkata, bagi kesan jangka panjang pula, bank konvensional mula berasa tergugat dan buktinya selepas 10 tahun penubuhan Bank Islam, Bank Negara membenarkan bank konvensional membuka Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF).

“Kemudian SPTF ditukar kepada subsidiari dan membenarkan bank konvensional membuka bank Islam mereka.

“Kesannya pada hari ini, Maybank Islamic menjadi bank Islam terbesar di negara dan rantau ini mengatasi BIMB,” katanya.

KUKUHKAN KEWANGAN KEISLAMAN

Menurutnya, beliau tidak menafikan menerima cabaran daripada pihak tertentu yang kurang yakin terhadapnya untuk membangunkan BIMB.

Namun sokongan kuat daripada masyarakat menjadi kekuatannya membuktikan kemampuan menjenamakan BIMB sebagai bank Islam unggul pada hari ini.

Katanya, dua perkara menjadi asas pegangannya semasa menggalas tanggungjawab mentadbir BIMB iaitu permintaan orang Islam yang mahukan Bank Islam.

“Kedua ialah kerana belum ada sistem perbankan berlandaskan syariah iaitu bank Islam di negara ini selain menganggap tugas saya sebagai salah satu jihad kepada agama,” katanya.

Selain itu katanya, sepanjang berkhidmat dengan BIMB, beliau juga terbabit dengan usaha membangunkan bank Islam di negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Antara usahanya ialah memberi ceramah mengenai konsep bank Islam di negara terbabit. Kedua ialah memberi latihan sambil belajar kepada kakitangan Bank Islam Brunei dan Indonesia di BIMB,” katanya.

Berkata lanjut, Abdul Halim berkata, industri kewangan Islam di negara ini berkembang baik dan mampu berada pada tahap lebih bagus pada masa akan datang tetapi sistem berkenaan perlu diperkukuhkan serta diperbaiki.

“Lebih penting ialah ‘safeguard’ yang bermaksud ciri keselamatan perlu dipertingkatkan supaya tidak berlaku ‘kejutan’ di bank yang boleh menjadi masalah lebih besar.

“Di bank konvensional, ada beberapa unit yang menjalankan tugas dalam bidang ini (safeguard). Unit ini sentiasa mengawal perjalanan bank terbabit di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap, industri kewangan Islam ini mencapai kedudukan tinggi bukan saja di negara ini tetapi peringkat global pada masa akan datang.

“Ini kerana orang Islam di negara ini dan seluruh dunia memerlukan sistem kewangan berkenaan bagi mengelakkan mereka terjebak dengan amalan riba yang menyebabkan dosa besar.

“Industri kewangan Islam perlu kukuh dan tidak mustahil mampu menyaingi bank konvensional dan tanda itu sudah mula ditunjukkan,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:58 AM