Mohd Muazzam selepas penyenaraian Bank Islam di Bursa Malaysia hari ini.
Mohd Muazzam selepas penyenaraian Bank Islam di Bursa Malaysia hari ini.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menempa satu lagi peristiwa penting dalam sejarah industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Berhad (BHB).

Penyenaraian ini menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat.

Langkah-langkah penjajaran semula dalaman ini turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang membabitkan pengagihan semula semua pegangan BHB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), kepada pemegang saham BHB, seterusnya, pemindahan status penyenaraian BHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

Pada masa sama, BHB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan Bank mengambil peranan sebagai syarikat induk.

Langkah ini menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaannya serta menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini.

"Melalui penyenaraian ini, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan di masa hadapan dengan cekap.

"Di samping itu, Kumpulan akan mempunyai skala dan keupayaan yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhan organik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penyenaraian ini membuka peluang kepada pelabur untuk terbabit secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan Kumpulan Bank Islam baharu, yang meliputi BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) dan BIMB Securities Sdn Bhd (BIMB Securities).

"Melalui pendekatan bersinergi dan holistik, Bank Islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025," katanya.

Mohd Muazzam berkata, penyenaraian ini memberi kedudukan menguntungkan buat Bank Islam dalam memanfaatkan pertumbuhan kewangan Islam dan pasaran modal Islam, sejajar dengan usaha untuk mengembangkan asas pelanggan Bank.

"Dengan jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion, Bank Islam kini memulakan strategi pelan perniagaan lima tahun dikenali sebagai LEAP25 yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam norma baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19.

"Kami juga akan meneruskan hala tuju perniagaan ke arah mencapai matlamat LEAP25 melalui lima pemacu perniagaan: Kewangan Sosial, Pengurusan Kekayaan, Perusahaan dan Perbankan Borong serta Bank Digital.

"Cabang kewangan sosial, Pusat Kewangan Sosial, akan meneruskan fungsi untuk meningkatkan peranan dan manfaat instrumen kewangan sosial Islam.

"Bank akan menggunakan sedekah, zakat dan wakaf untuk membantu golongan rentan, kurang atau tidak mendapat perkhidmatan perbankan yang amat diperlukan.

"Pendigitalan adalah infrastruktur teras yang akan menjadi pendorong untuk mencapai misi yang ditetapkan," katanya.

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berperanan sebagai penasihat utama dalam pelaksanaan penyusunan semula BHB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 12:21 PM