DR Abdul Halim (kiri) dan  Dr Mohd Daud  menunjukkan buku meja kopi bertajuk Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia., semalam.
DR Abdul Halim (kiri) dan Dr Mohd Daud menunjukkan buku meja kopi bertajuk Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia., semalam.

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Berhad dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) melancarkan buku pertama mengenai kewangan Islam di Malaysia yang bertajuk Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia.

Serentak pelancaran buku meja kopi (coffee table) itu, sesi ulasan turut diadakan yang menampilkan panel iaitu peneraju pertama Bank Islam Berhad Datuk Dr Abdul Halim Ismail dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sesi itu dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar.

Dr Abdul Halim berkata, sejak 1983, kewangan Islam berkembang pesat sehingga menyumbang lebih 27 peratus daripada jumlah pembiayaan pada tahun lalu.

“Menurut BNM, dijangka kewangan Islam bakal menyumbang 40 peratus pada 2020 terhadap ekonomi negara,” katanya.

Buku berkenaan yang ditulis dua penulis ISRA iaitu Dr Syahida Abdullah dan Dr Riaz Ansary berkisar perkembangan kewangan Islam di Malaysia dari era pra-Islamik sehingga 1983.

Buku itu dibahagikan kepada lima tajuk apabila bab pertama menyentuh faktor geografi berkenaan Kepulauan Melayu sebagai pusat perdagangan antarabangsa serta ketibaan pedagang Arab yang memberi kesan terhadap budaya Melayu.

Bab kedua pula berkaitan zaman penjajahan British dan pengenalan serta pertumbuhan konvensional perbankan manakala bab ketiga berkisar dasar ekonomi negara pada era pascakolonial.

Bagi bab keempat menjelaskan eksperimen awal bank Islam di seluruh negara sebelum pembentukan Bank Pembangunan Islamik dan bab lima berkisar usaha Malaysia menubuhkan bank Islamik dan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.

Buku berkenaan yang dijual pada harga RM250 sesuai bagi semua golongan termasuk pelajar dan pegawai akademik serta hanya boleh didapati di ISRA saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 7:08 AM