LATIFA Bibi menerima anugerah daripada Pengerusi GIFA 2023, Prof Dr Humayon Dar. FOTO ihsan IRCIEF-UIS
LATIFA Bibi menerima anugerah daripada Pengerusi GIFA 2023, Prof Dr Humayon Dar. FOTO ihsan IRCIEF-UIS
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Universiti Islam Selangor (UIS) mengungguli Anugerah Terbaik Penyelidikan dan Pembangunan Dalam Kewangan Islam 2023 pada Global Islamic Finance Award ke-13 (GIFA) 2023 di Dakar, Senegal, kelmarin.

Jawatankuasa GIFA menilai pencalonan berdasarkan tiga faktor utama iaitu tanggungjawab sosial untuk etika dan sumbangan komuniti, pematuhan terhadap piawaian syariah dan komitmen kepada perbankan serta kewangan Islam yang dinilai dengan skor berbeza berdasarkan jenis institusi.

Pengarah IRCIEF-UIS, Dr Latifa Bibi Musafar Hameed berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen yang dibuat selama ini berada di landasan terbaik.

"Kami gembira dengan pengiktirafan yang diberikan oleh GIFA dan berharap banyak lagi sumbangan IRCIEF dapat dilaksanakan dengan sinergi rakan-rakan pemegang taruh dan pelbagai pihak.

"Ini adalah komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan dalam industri ekonomi dan kewangan Islam demi kemaslahatan ummah di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Hadir sama menerima anugerah itu ialah Ketua Unit Penyelidikan dan Jaringan Industri IRCIEF-UIS, Ahmad Yani Ismail.

Pada acara sama, Presiden Republik Senegal, Macky Sall yang hadir sebagai tetamu kehormat turut menerima Anugerah Kepimpinan GIFA 2023.

IRCIEF yang aktif dengan pelbagai penyelidikan berkaitan ekonomi dan kewangan Islam pernah menerima anugerah lain seperti pingat emas bagi inovasi Sadaqa House yang dilaksanakan oleh Bank Islam Malaysia Berhad sebagai memenuhi tanggungjawab sosial terhadap komuniti umum dan kewangan Islam.

Hasil kerjasama baik ini, Sadaqa House Bank Islam beroperasi sejak 2018.

IRCIEF turut menganjurkan Kursus Jangka Pendek Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam yang dijalankan selama tiga bulan sebagai inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam industri kewangan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 2:32 PM