AHLI keluarga Ghazali Hanan pemenang bagi kategori Pakaian Keluarga Paling Kreatif.
AHLI keluarga Ghazali Hanan pemenang bagi kategori Pakaian Keluarga Paling Kreatif.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kreativiti keluarga Ghazali Hanan memakai pakaian batik berkonsepkan pari-pari ketika menyertai acara Jalan Kaki Riang Ria Batik 2017 di Balai Seni Negara membawa tuah apabila keluarga itu dipilih pemenang bagi kategori Pakaian Keluarga Paling Kreatif.

Lebih menarik, pakaian terbabit hasil sentuhan dua peserta acara berkenaan iaitu Afnan Ghazali, 27, yang menjahit baju-T dan manakala Raihan Ghazali,32, pula menjahit bahagian kipas.

Pasukan membabitkan 10 peserta terdiri daripada anak dan cucu Ghazali berusia antara 7 hingga 45 tahun.

Afnan berkata, dia mendapat idea konsep itu selepas anak saudaranya Nur Humairah Mohd Hisban berusia tujuh tahun menyatakan keinginan memakai pakaian berkonsep pari-pari bagi acara berkenaan.

AFNAN menggayakan pakaian batik berkonsepkan pari-pari ciptaannya.
AFNAN menggayakan pakaian batik berkonsepkan pari-pari ciptaannya.

“Dia (Nur Humairah) beritahu mahukan pakaian itu dua hari sebelum acara berkenaan berlangsung.

“Saya berbincang dengan ahli keluarga yang lain dan mereka bersetuju untuk memakai pakaian seragam itu.

“Saya bekerjasama dengan kakak (Raihan) untuk mereka pakaian itu supaya kelihatan menarik dan kami bekerja keras me­nyiapkan untuk 10 pakaian kesemua ahli dalam tempoh singkat,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka keluarganya terpilih sebagai pemenang kerana peringkat awal hanyalah sekadar mencuba nasib memandangkan peserta lain tidak kurang hebatnya menonjolkan kreativiti masing-masing.

“Ini kali pertama kami sekeluarga menyertai acara berkenaan walaupun ia sudah diadakan sejak 15 tahun lalu dan mengetahui penganjurannya menerusi laman sosial.

“Kami berminat menyertainya (Jalan Kaki Riang Ria Batik) sejak kami mula aktif dengan acara maraton Oktober tahun lalu setelah mempunyai kesedaran terhadap gaya hidup sihat,”katanya.

PESERTA memulakan acara Jalan Kaki Riang Ria Batik 2017 di Balai Seni Negara.
PESERTA memulakan acara Jalan Kaki Riang Ria Batik 2017 di Balai Seni Negara.

Manakala peserta daripada Management & Science University (MSU) Tengku Nureen Faqihah Tengku Mohd Fauzi,21, berkata, program berkenaan sangat bagus kerana dapat menghimpunkan ramai peserta berbilang kaum selain boleh memperkukuhkan semangat perpaduan.

“Jika tiada acara seperti ini, agak sukar untuk kita melihat rakyat negara ini berkumpul beramai-ramai dalam suasana harmoni.

“Selain itu juga, ia dapat menghidupkan ‘semangat’ batik yang kini seolah-olah dipandang sepi oleh masyarakat terutamanya golongan muda.

“Dahulu, batik banyak digunakan dalam kehidupan harian tetapi kini sudah menjadi sebagai bahan seni yang bernilai tinggi.

“Selian itu batik turut mencerminkan elemen perpaduan kepelbagaian kaum di negara ini,”katanya.

ANTARA gelagat menarik peserta.
ANTARA gelagat menarik peserta.

Difahamkan acara anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) berjaya menarik 3,200 peserta membabitkan laluan sejauh 3.8 kilometer, bermula dan berakhir di Balai Seni Negara melalui Jalan Temerloh, Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PENYAYANG Datuk Leela Mohd Ali berkata, program itu akan terus diadakan pada masa akan datang memandangkan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Katanya, hasil kutipan daripada acara itu akan disumbangkan kepada kumpulan sokongan kanser iaitu Penyayang Pesakit Kanser (PPK) dan Institut Kanser Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:33 AM