Oleh Syahid Sokri

Kuala Nerang: Sepasang pengantin memilih warna Kedah dan Selangor sempena final Piala Malaysia bagi meraikan detik bersejarah mereka di Kampung Pokka, Padang Terap Kanan, Kuala Nerang, hari ini.

Pengantin lelaki, Mohd Nurfaiz Zakaria, 27, dia dan pasangannya, Siti Aisyah Ismail, 27, memilih 12 Disember 2015 lebih awal dan tidak menyangka tarikh sama hari dengan final Piala Malaysia.

Katanya, dia dan isterinya sudah memilih kad jemputan perkahwinan bertemakan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Selangor, tanpa mengetahui yang ia benar-benar berlaku.

"Tarikh dan tema itu kebetulan semata-mata. Corak kad jemputan adalah idea abang sulung, Mohd Najmi Zakaria 31.

"Melihat kepada situasi ini memberikan kelebihan kepada kami untuk menjadikan perkahwinan kami sesuatu yang lebih menarik dengan semua ahli keluarga memakai jersi Kedah pada hari perkahwinan," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinannya di Padang Terap Kanan, di sini.

Nurfaiz adalah anak keempat daripada lima beradik dan dia bersama ahli keluarga membeli 15 jersi Helang Merah di Stadium Darul Ama, kelmarin, untuk dipakai di hari persandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:26 PM