SUASANA  Majlis Raja Sehari Mega yang meriah.
SUASANA Majlis Raja Sehari Mega yang meriah.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Tidak perlu malu, yang penting kita selamat diijabkabulkan kerana itu yang wajib,” kata ejen perkapalan, Saifullah Zakaria, 28, selepas menyertai majlis perkahwinan bersama 18 pasangan pengantin lain pada majlis Raja Sehari Mega di sini, semalam.

Saifullah bersama isterinya, Izati Ibrahim, 27, memilih perkahwinan sederhana dengan perbelanjaan maksimum RM5,000 berkata, soal bagaimana cara melangsungkan perkahwinan tidak penting, asalkan apa yang wajib didahulukan.

Menurutnya, jika tiada program anjuran Pertubuhan Belia Wawasan Baharu (PBWB) itu, kemungkinan besar dia dan isteri masih belum berkahwin kerana kekangan wang yang tidak mencukupi memandangkan perbelanjaan perkahwinan kini mencecah lebih RM30,000.

“Bayangkan ramai pasangan belum berkahwin kerana tidak cukup wang berikutan mahukan majlis kahwin yang gilang-gemilang.

“Bagaimanapun, bagi saya tidak perlu malu dengan perkahwinan bajet, malah patut rasa bersyukur kerana dapat menjimatkan wang dan mengelakkan hutang serta pembaziran,” katanya.

Dia yang berasal dari Muar dan isterinya itu antara 19 pasangan raja sehari yang menyertai majlis perkahwinan di bawah program berkenaan dengan hanya mengeluarkan belanja maksimum RM5,000.

Mereka dinikahkan enam jurunikah diketuai Kadi Besar Negeri Johor Mohd Nooh Kadri.

Walaupun murah, majlis perkahwinan itu turut mendapat tajaan seperti penginapan di hotel lima bintang di Nusajaya di sini, percutian dan pelayaran bulan madu pada Mei nanti, tajaan cincin serta pakaian pengantin.

Majlis persandingan pasangan berkenaan diadakan hari ini di hadapan bangunan Kerajaan Kota Iskandar di sini, dan turut dimeriahkan dengan konvoi beramai-ramai menaiki kereta mewah di sekitar kawasan pentadbiran negeri itu.

Menurut Pengerusi PBWB Mohammad Sirajuddin Jalil, program itu masuk tahun keempat penganjurannya, tetapi yang pertama dilakukan di luar kawasan Putrajaya.

“Kami melihat penyertaan yang banyak bukan saja bagi pasangan di Kuala Lumpur, malah dari negeri lain dan sebab itu kami mengadakannya di sini.

“Memandangkan sebelum ini, pasangan luar Kuala Lumpur ke sana bagi mengikuti program ini, namun tahun ini tidak lagi apabila kami lakukan empat siri mengikut zon iaitu di Johor, Putrajaya, Pahang dan Kedah,” katanya.

Mohammad Sirajuddin berkata, program itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:18 AM