Oleh Nur Syazwana Mansor

Pendang: Pengantin, Muhamad Khairul Izuan Yunos, 28 dan Khansak Mohamad Shafir, 27, membuat kelainan dalam majlis perkahwinan mereka di Kampung Chegar,di sini, apabila diarak sejauh 20 meter di atas lori tiga tan yang ditarik ‘abang sado’, tengah hari tadi.

Majlis yang berlangsung di rumah pengantin perempuan itu menarik perhatian semua tetamu yang hadir sebaik mereka meninggalkan pekarangan khemah makan sebelum diarak menaiki lori itu pada 1 tengah hari.

Lori itu ditarik oleh Muhamad Faizal Muhamad Najib, 32, yang juga pemilik Gimnasium di Mergong, Alor Setar selain dia adalah ahli Persatuan Orang Kuat Kedah dan Setiausaha Malaysia's Strongest Man Association

Khansak yang bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berkata, idea untuk membuat kelainan pada majlis persandingannya itu mula tercetus sejak dua bulan lalu selepas dia memberitahu Muhamad Faizal mengenai majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung.

Katanya, Muhamad Faizal kemudian memberi cadangan dan menawarkan diri untuk membawanya dan suami berarak menaiki lori yang ditarik sendiri olehnya.

"Saya bersyukur kerana rancangan kami ini berjalan lancar, sekali gus menjadikan majlis perkahwinan saya pada hari ini sebagai hari yang paling bahagia dan sukar untuk dilupakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 6:16 PM
Muhamad Khairul dan Khansak  diarak sejauh 20 meter di atas lori tiga tan yang ditarik ‘abang sado’, tengah hari tadi. FOTO Amran Hamid
Muhamad Khairul dan Khansak diarak sejauh 20 meter di atas lori tiga tan yang ditarik ‘abang sado’, tengah hari tadi. FOTO Amran Hamid