ALIFF Aziz didakwa di Mahkamah Singapura hari ini atas dua tuduhan mencuri. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ALIFF Aziz didakwa di Mahkamah Singapura hari ini atas dua tuduhan mencuri. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ardini Sophia Sina


PENYANYI dan pelakon Mohamad Aliff Aziz atau Aliff, 28, didakwa di Mahkamah Singapura hari ini atas dua tuduhan mencuri.

Memetik laporan Berita Harian Singapura, Aliff didakwa mencuri wang sebanyak S$300 (RM909) dan Rp1 juta (RM296) milik individu bernama Raja Yunika Perdhana Putri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, penyanyi lagu Sayang Sayang itu melakukan perbuatan berkenaan dalam sebuah bilik di Studio M Hotel, 3 Nanson Road antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 7 Jun lalu.

Aliff turut berhadapan tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api dengan jumlah RM47.29 (S$15.60) milik individu bernama Gurwinder Singh Harwindar Singh di kafe Starbucks, Plaza Singapura.

Selebriti kontroversi itu didakwa melakukan perbuatan terbabit kira-kira jam 4.45 pagi pada 6 Ogos 2016.

Aliff bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000 (RM15,000). Dia hadir ke mahkamah pagi tadi bersama seorang rakan.

Mahkamah memutuskan 1 Oktober hadapan untuk menyambung semula perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:30 PM