Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi Nas Adila selamat melahirkan cahaya mata lelaki di Hospital Selayang jam 6.35 petang semalam (17 November).

Bayi diberi nama Muhamad Rizqi Ikhram itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.39 kilogram.

Penyanyi yang juga pemilik nama sebenar Nas Adila Mohd Dan, 30, berkata, kelahiran bayi sulungnya itu melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangganya dengan penyanyi Alif Razali, 30.

"Selepas berjuang selama beberapa jam di wad bersalin dengan ditemani suami, saya selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat.

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya dan suami sepakat menamakannya Muhamad Rizqi Ikhram," katanya.

Ditanya mengenai berpantang, Nas Adila berkata, dia akan menetap di kediaman keluarganya di Selayang sepanjang tempoh itu.

"Insya-Allah, selepas tamat tempoh berpantang saya akan kembali memenuhi undangan persembahan dan meneruskan aktiviti kelas zumba seperti biasa pada awal Januari depan," katanya.

Nas Adila berkahwin dengan Alif yang juga penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim keenam pada Disember tahun lalu.

Terdahulu Nas Adila berkongsi berita kelahiran bayinya itu menerusi laman instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 4:40 PM