NADIA Brian bersama suami Muizz Nasruddin.
NADIA Brian bersama suami Muizz Nasruddin.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Nadia Brian hari ini sah bergelar isteri kepada pasangannya, Muizz Nasruddin selepas diijabkabulkan dengan sekali lafaz di majlis akad nikah yang berlangsung jam 12.03 tengah hari tadi.

Nadia ketika ditemui meluahkan rasa syukur dengan kelancaran majlis bersejarah itu.

"Alhamdulillah. Semuanya berjalan seperti yang dirancang. Terima kasih kepada semua yang hadir," katanya kepada Harian Metro.

Kedua-dua mempelai dinikahkan oleh jurunikah yang juga Imam Masjid al-Ikhlas Shah Alam, Muhammad Shahar Abidin dengan mas kahwin RM1,000.

Keluarga pihak lelaki memberi tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran RM50,000 dan dibalas dengan sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Majlis akad nikah yang berlangsung di Magica Hall, Seksyen U5, Shah Alam itu dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan.

Menariknya, majlis akad nikah itu berlangsung penuh meriah dengan persembahan pencak silat serta tarian tradisi selain sesi berpantun antara ibu bapa kedua-dua mempelai.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Nadia dan Muizz mengikat tali pertunangan pada 4 Mei lalu selepas dilamar tunangnya pada Februari di Kota Paris, berlatarbelakangkan Menara Eiffel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:27 PM