Alor Setar: Kapten Kedah Khairul Helmi Johari (gambar) percaya mereka tidak berdepan masalah menerima kehadiran jurulatih Tan Cheng Hoe di final Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam esok.

Pemain pertahanan tengah berusia 27 tahun itu berkata, biarpun sebelum ini tugas membimbing pasukan Helang Merah diserahkan kepada penolong jurulatih yang juga jurulatih kecergasan Ramon Marcote Pequeno sejak pusingan suku akhir, namun dari segi sistem dan taktikal masih sama.

“Kehadiran beliau (Cheng Hoe) bersama kami untuk aksi final nanti sudah pasti akan menyemarakkan semangat pemain dan pasukan. Kehadiran beliau diharap dapat meningkatkan keyakinan pemain serta mutu permainan yang lebih baik.

“Sehingga sampai final kami tak ada masalah kerana sistem dan taktikal sama saja, cuma bezanya jurulatih ada dan tak ada saja. Beliau (Cheng Hoe) masih menguruskan taktikal biarpun berada di China,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Shah Alam, semalam.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan Lesen Pro di Guangzhou, China sejak bulan lalu meminta pengecualian untuk pulang hari ini.

Meskipun tidak sempat mengendalikan sesi latihan rasmi pagi ini, bekas penolong jurulatih kebangsaan itu akan berada di tepi padang bagi memberi arahan kepada pemain pada perlawanan esok.

Pequeno ketika ditanya sebelum ini mengakui tidak berdepan masalah menyerahkan tugas semula kepada Cheng Hoe yang lebih layak selaku jurulatih.

Khairul Helmi yang berada dalam skuad juara tiga kejuaraan pada 2007 dan 2008 sebagai pemain simpanan berharap ada sesuatu yang akan dibawa pulang Cheng Hoe untuk mereka beraksi garang pada final nanti.

“Kami memang mengharapkan ilmu baru dari China yang dibawa balik mampu membantu Kedah untuk menggugat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 8:45 AM