MARCOTE (kiri) bersama pemain  memegang cakera padat lagu batalion Hijau Kuning sebelum  menjalani latihan.
MARCOTE (kiri) bersama pemain memegang cakera padat lagu batalion Hijau Kuning sebelum menjalani latihan.

Alor Setar: Penolong jurulatih Kedah Ramon Marcote Pequeno mengakui beliau tidak ada masalah untuk menyerahkan tugasnya kepada ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bagi mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Katanya, Cheng Hoe selaku ketua jurulatih berhak untuk berada di tepi padang dan memberi arahan dalam perlawanan itu nanti biarpun beliau memainkan peranan besar membawa skuad Helang Merah mengatasi halangan suku akhir serta separuh akhir sebelum ini.

“Ya, saya OK... tidak ada masalah. Tan Cheng Hoe adalah ketua jurulatih jadi tidak ada masalah di sini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Pequeno, jurulatih kecergasan dilantik sebagai penolong jurulatih Kedah untuk mengambil alih tugas Cheng Hoe yang menyambung kursus kejurulatihan Lesen Pro di Guangzhou, China bulan lalu.

Di bawah kendaliannya, skuad juara Liga Perdana itu mempamerkan kejutan dengan menyingkirkan PKNS FC dan FELDA United untuk mara ke final buat memburu kejuaraan kelima Piala Malaysia.

Namun, dalam laporan Arena Metro semalam, Cheng Hoe yang sepatutnya menamatkan kursus pada 19 Disember, mendapat pengecualian pulang esok untuk bersama pasukan Kedah di Shah Alam.

Pequeno yang kini masih mengendalikan latihan Kedah sebelum berangkat ke Shah Alam hari ini berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya.

“Hari ini (semalam) kami dapat mengumpul semua pemain bagi sesi latihan. Semua pemain dalam keadaan baik cuma Chidi (Edeh) direhatkan pada 20 minit terakhir latihan kerana kami perlu menjaga tahap kecederaannya.

“Saya yakin pemain sudah bersedia dan tidak ada banyak perubahan yang kami akan dilakukan kerana bakal bermain dengan cara sendiri di final Sabtu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:29 AM