MUHAMMAD Farhan (depan) bersama anggota pasukannya giat berlatih pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM hari ini. FOTO SHAZREEN ZAMZURI
MUHAMMAD Farhan (depan) bersama anggota pasukannya giat berlatih pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM hari ini. FOTO SHAZREEN ZAMZURI
Firdaus Hashim


‘MESSI Kedah’, Farhan Roslan mahu membuktikan kehadirannya bersama skuad Harimau Malaya bukan sekadar tempelan atau penumpang, sebaliknya mahu muncul antara tunjang utama kekuatan pasukan.

Farhan, 24, yang menikmati musim cemerlang bersama skuad Helang Merah dalam saingan Liga Malaysia jelas berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Kejayaan membantu Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum tumbang 3-0 pada Sabtu lalu, selain muncul juara Piala FA musim ini, membuatkan pengendali negara Tan Cheng Hoe tiada sebab untuk tidak menyenaraikan pemain sayap lincah itu.

“Tersenarai dalam senarai kesebelasan utama bersama pasukan Kedah meningkatkan pengalaman saya.

“Sekiranya jurulatih (Cheng Hoe) memberikan kepercayaan penuh kepada saya untuk kesebelasan utama negara, saya akan buat sehabis baik.

“Namun, bagi saya semua pemain yang ada hari ini juga mempunyai kualiti yang bagus teruatama di posisi saya. Saya harap saya tersenarai sekurangnya dalam perlawanan persahabatan nanti (Sabtu ini) menentang Tajikistan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan, hari ini.

Ditanya mengenai persaingan dalam pasukan, Farhan yakin dirinya akan menampilkan persembahan terbaik dengan kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

Katanya, saingan yang banyak dalam posisinya itu akan diambil sebagai kekuatan bagi dirinya diberi peluang beraksi.

“Bagi saya berada di bawah coach Tan (Cheng Hoe) bukan perkara baru kerana saya pernah di bawah bimbingannya semasa coach menjadi jurulatih Kedah sebelum ini.

“Tiada banyak beza Coach (Cheng Hoe) sekarang dan dulu. Beliau adalah jurulatih yang mahukan pemainnya sentiasa kerja keras semasa latihan dan permainan. Kalau kita berjaya buat yang terbaik, InsyaAllah peluang itu ada,” katanya.

Skuad negara ketika ini dalam rangka persiapan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 dan 19 November ini.

Untuk memastikan pasukan kebangsaan bersedia menghadapi dua aksi Kumpulan G itu, pasukan di tangga ke-116 dunia iaitu Tajikistan bakal menguji anak buah Cheng Hoe pada aksi persahabatan di venue yang sama Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:16 PM