Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Sepasang kekasih warga asing yang tiada dokumen perjalanan sah, dicekup polis dalam serbuan di Jinjang Utara, malam tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, seorang wanita warga Indonesia bersama teman lelakinya seorang warga Pakistan ditahan dalam sebuah rumah teres yang disewa sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, warga asing berkenaan tiada dokumen perjalanan yang sah akan dihantar pulang ke negara asal.

"Hasil maklumat orang awam, polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah rumah di Jalan Permai 7 dan mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala seorang wanita Indonesia berusia 30 tahun, mempunyai pasport yang sudah tamat tempoh.

"Mereka dibawa ke balai polis sebelum dihantar ke depoh imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, petang tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6 Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 11:40 PM