FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua pusat karaoke di Jalan Imbi dan Jalan Gelang yang menjalankan operasi perniagaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diserbu polis, malam tadi.

Serbuan pertama dilakukan di pusat karaoke di Jalan Imbi dan pemeriksaan menemui 19 pengunjung warga tempatan dan 10 GRO warga asing terdiri daripada enam warga Vietnam dan masing-masing dua warga Thailand dan Indonesia.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan sah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Seramai 14 orang lelaki dan enam wanita warga tempatan dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020.

"Sembilan GRO warga asing iaitu enam warga Vietnam, dua warga Indonesia dan seorang warga Thailand ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana pas lawatan tamat tempoh.

"Tiga pekerja Myanmar dan seorang lagi GRO warga Thailand ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah memasuki Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, serbuan ke atas pusat karaoke kedua dilakukan pada 1 pagi dan 18 pengunjung warga tempatan termasuk seorang remaja bawah umur berusia 13 tahun dan seorang warga Myanmar diperiksa.

Beliau berkata, turut diperiksa, seorang penjaga pusat karaoke dan tiga pekerja warga tempatan.

"Semua yang diperiksa berusia antara 13 hingga 43 tahun dan semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan sah.

"Seramai 19 warga tempatan terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita warga tempatan dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020.

"Seorang pengunjung warga Myanmar ditahan mengikut Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah memasuki Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 10:32 PM