ANTARA warga asing yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu - Operasi Nyah yang dijalankan di sekitar Serdang, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu - Operasi Nyah yang dijalankan di sekitar Serdang, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


PENDATANG asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari sebaik ‘tempat tinggal’ mereka digempur pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan di Bandar Kinrara dan Bandar Puteri, Puchong, kelmarin.

Dalam serbuan Operasi Cegah Jenayah Bersepadu - Operasi Nyah kira-kira 9 malam itu, seramai 315 warga asing di kedua-dua lokasi berkenaan yang juga kawasan tapak pembinaan diperiksa.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi itu.

"Di lokasi pertama di Bandar Kinrara, Puchong, kami memeriksa seramai 201 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan. Daripada jumlah itu, 26 individu berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan.

"Mereka yang ditahan termasuk lima wanita terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Pakistan," katanya.

Megat berkata, pihaknya menahan sembilan PATI di Bandar Puteri, Puchong selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 114 warga asing di lokasi berkenaan.

"Pada lokasi kedua, kami menahan sembilan warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah dan tinggal melebihi tempoh.

"Semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 11:55 AM