GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faliq Lajim


HASRAT lima warga Indonesia untuk pulang ke negara asal melalui laluan laut pagi ini terbantut apabila mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan pihak berkuasa.

Kelima-lima mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam pemeriksaan terhadap sebuah feri kira-kira jam 11.50 pagi tadi ketika feri berkenaan pada kedudukan 0.6 batu nautika dari Tanjung Harapan.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menjalankan satu pemeriksaan terhadap feri penumpang yang sedang menuju ke Pulau Ketam dari Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap penumpang feri berkenaan mendapati terdapat penumpang warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Seramai empat orang lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia berusia antara 21 hingga 42 tahun didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta pasport yang sudah tamat tempoh.

“Mereka dipercayai merancang untuk pulang ke Tanjung Balai dan Bandung, Indonesia bagi menyambut Aidiladha melalui Pulau Ketam.

“Kesemua mereka dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 10:49 PM