Abdul Samah beramah mesra dengan anggota dan pegawai selepas merasmikan Bilik Triaj di Balai Polis Subang Jaya. FOTO Norizuan Shamsuddin
Abdul Samah beramah mesra dengan anggota dan pegawai selepas merasmikan Bilik Triaj di Balai Polis Subang Jaya. FOTO Norizuan Shamsuddin
Oleh Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Polis Selangor siasat empat anggota dan pegawai berhubung seorang banduan yang melarikan diri dengan tangan bergari di Paya Jaras, Sungai Buloh, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata siasatan terbabit dilakukan bagi memastikan sekiranya terdapat kecuaian anggota dan pegawai berkenaan ketika mengiringi suspek berusia 34 tahun itu.

Katanya, tindakan sewajarnya akan dikenakan jika terbukti berlaku kecuaian daripada pegawai dan anggota terbabit.

"Siasatan dilakukan terhadap seorang pegawai dan tiga anggota yang membawa Orang Kena Tahan (OKT) berkenaan. Sekiranya terbukti ada unsur kecuaian tindakan akan dikenakan terhadap mereka.

"Polis masih giat mencari suspek terbabit dan kita yakin pergi jauh serta bersembunyi di kawasan hutan berdekatan," katanya pada sidang media majlis Perasmian Bilik Triaj Balai Polis Subang Jaya di sini, pagi tadi.

Bilik Triaj terbabit diwujudkan bagi memberi khidmat kaunseling kepada mangsa jenayah yang mengalami trauma ketika hadir membuat aduan di balai polis.

Mengulas mengenai kes terbabit, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam seorang suspek terbabit dalam 29 kes ragut dan samun meloloskan diri dalam keadaan tangan digari ketika bersama pegawai dan anggota polis ke Paya Jaras untuk mengesan seorang lagi rakannya yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 11:44 AM