BERNAMA

Kajang: Polis menahan semula suspek kes rogol kanak-kanak empat tahun di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh, yang dilepaskan oleh dua anggota polis Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis memberkas suspek lelaki warga Kemboja itu di sebuah bengkel di Paya Jaras, 6 petang semalam.

"Ketika ditahan, suspek sedang menyembunyikan diri di bengkel berkenaan namun berjaya ditangkap polis," katanya pada sidang media Majlis

Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sabtu lalu, dua anggota polis yang didakwa membebaskan suspek dikenakan tindakan tata tertib iaitu tahan kerja serta-merta kerana menjalankan tugas dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam kejadian Khamis lalu, kanak-kanak malang itu dikatakan dirogol suspek pada 1 pagi sebelum ditangkap orang ramai.

Dua anggota polis yang menaiki kereta peronda kemudian tiba di lokasi dan menahan suspek sebelum membawanya ke Balai Polis Sungai Pelong. Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan dikatakan membuat keputusan membebaskan suspek kerana ibu mangsa enggan membuat laporan polis berikutan mereka adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Laporan polis kemudian dibuat seorang doktor hospital kerajaan pada hari sama selepas memeriksa kanak-kanak itu yang dibawa ibunya untuk rawatan selepas mengadu sakit pada kemaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 9:18 PM