Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Lelaki yang lolos ketika dalam tahanan polis di Paya Jaras, Sungai Buloh, Isnin lalu, ditahan semula di rumah di Kampung Seri Gombak Indah, Batu Caves, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata polis merampas dua motosikal dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri.

Menurutnya, polis turut merampas lima telefon bimbit, pakaian dan kelengkapan lain yang digunakan suspek sepanjang tempoh dia meloloskan diri.

"Tiga suspek termasuk dua yang ditahan polis sebelum ini akan direman hari ini.

"Tiga pegawai dan 18 anggota terbabit dalam operasi mengesan dan menangkap suspek, sejak 9 malam semalam sehingga pagi ini," katanya.

Suspek dikenali sebagai Mohammed Firzal Azizan, 34, dipercayai melarikan diri dengan tangan masih bergari serta memakai baju lokap.

Sebelum itu, lelaki itu dibawa ke Paya Jaras untuk mengesan seorang lagi rakannya yang dipercayai mendiami di kawasan itu.

Bagaimanapun, dia lolos dan keluar daripada van selepas bergelut dengan anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 11:28 AM