KETUA Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memeriksa perbarisan ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor. FOTO Muhamad Sulaiman
KETUA Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memeriksa perbarisan ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor. FOTO Muhamad Sulaiman
Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Selangor: Anggota polis yang menyebabkan suspek samun di Paya Jaras, Sungai Buloh, berjaya meloloskan diri daripada tahanan polis, 7 Disember lalu akan didakwa sekiranya didapati cuai menjalankan tugas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, siasatan terhadap anggota terbabit masih dijalankan dan akan diserahkan kepadanya selepas ia selesai.

"Dalam sehari dua ini proses siasatan terhadap anggota itu akan selesai.

"Daripada hasil siasatan itu, saya akan meneliti sama asa dia cuai dalam menjalankan tugas atau tidak," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Pada 7 Disember lalu, Mohamed Firzal Azizan, 34, melarikan diri dengan keadaan tangan bergari dan berbaju lokap ketika dalam tahanan polis.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, dia berjaya ditahan semula pada jam 1 pagi di rumah teman wanitanya di Kampung Sri Gombak Indah, Batu Caves.

Polis turut menahan dua lelaki dipercayai bertanggungjawab melindungi suspek sepanjang tempoh dia melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 1:04 PM