SNOWDEN (kiri) menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) kepada pelajar terbaik, Lim
SNOWDEN (kiri) menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) kepada pelajar terbaik, Lim
Oleh Mohd Hilmi Mahmud


University of Greenwich (UOG) England menyifatkan Kolej SEGi Pulau Pinang sebagai rakan universiti terbaik melalui kerjasama akademik yang dijalin hampir lapan tahun lalu.

Pro-Naib Canselor UOG Prof Martin Snowden berkata, ia terbukti dengan penghasilan graduan berkualiti melalui kerjasama kedua-dua universiti berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada UOG berkongsi sistem pendidikan negara berkenaan kepada pelajar Kolej SEGi Pulau Pinang melalui kerjasama bagi program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perkomputeran.

“Pihak UOG sangat berbangga kerana kerjasama ini dapat menyumbang kepada penghasilan pelajar cemerlang dalam bidang berkenaan dan dapat membantu membangunkan ekonomi Malaysia.

“Kami mahu mengukuhkan kerjasama sedia terjalin ini bagi memberi manfaat kepada graduan pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Akademik 2015 di Hotel St Giles Wembley, Georgetown, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 133 graduan Kolej SEGi Pulau Pinang dianugerahkan ijazah sarjana muda (kepujian) daripada UOG.

Seramai 15 graduan memperoleh ijazah kelas pertama iaitu sembilan graduan Ijazah Sarjana Muda Perkomputeran dan enam dari Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Sementara itu, graduan terbaik, Lim Zheng Yong, 22, berkata biarpun berdepan tempoh sukar dalam mempelajari silibus pengajian dari luar negara itu, ia memberi kepuasan buat dirinya.

Katanya, dia berbangga berpeluang memperoleh ijazah kelas pertama yang diiktiraf UOG bagi bidang perakaunan yang diikutinya di Kolej SEGi Pulau Pinang.

“Dari peringkat pengajian A-Level di Kolej Disted, saya sudah didedahkan dengan sistem pengajian dari England dan ia sedikit sebanyak membantu ketika meneruskan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda Perakaunan di kolej ini.

“Kejayaan ini hadiah buat ahli keluarga yang sentiasa menjadi idola dan inspirasi bagi kecemerlangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 10:27 AM