Sultan Nazrin   menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Loh Chee Keen pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017, semalam.
Sultan Nazrin menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Loh Chee Keen pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017, semalam.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Salleh pernah membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa kecacatan penglihatan bukan halangan untuknya memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) sehingga diiktiraf Guinness Book of Records sebagai orang buta pertama memperoleh pengiktirafan itu.

Kecemerlangan dan kecekalan Allahyarham dalam mencapai gelaran akademik tertinggi itu sekali gus berjaya dalam kerjaya menjadi inspirasi kepada Dr Ahmad Shamsuri Muhamad, 35, untuk membuktikan status ‘cacat penglihatan’ bukan penghalang untuk berjaya.

“Saya mungkin mempunyai kekurangan iaitu cacat penglihatan. Tapi saya bersyukur kerana kekurangan ini memacu keinginan saya untuk berjaya seterusnya membantu komuniti cacat penglihatan selain berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Bahagian Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya.

Mengambil masa enam setengah tahun untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah kedoktoran, cabaran dilalui Dr Ahmad bukan sedikit. Antara kesukaran terpaksa dihadapinya ialah mendapatkan informasi bahan bacaan dalam bentuk bercetak.

“Untuk orang normal menamatkan pengajian PhD pun susah malah ada dikalangan rakan seangkatan saya gagal menamatkan pengajian mereka. Alhamdulillah saya melepasi rintangan ini.

“Cabaran dihadapi terutama mendapatkan informasi bahan bacaan dalam bentuk bercetak. Perisian digunakan untuk data analisis tidak boleh diakses menggunakan perisian membaca skrin kepunyaan saya yang diperbuat khusus untuk golongan buta.

“Selain itu untuk melengkapkan kajian PhD, saya menjelajah ke enam negeri di seluruh Malaysia iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak untuk mengatur pertemuan dengan 650 orang cacat penglihatan. Proses ini mengambil masa panjang dan keberanian untuk disempurnakan,” katanya.

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, bermula jam 9 pagi semalam, mengurniakan ijazah kepada 4,867 graduan, 645 menerima Ijazah Doktor Falsafah, 1,795 Ijazah Sarjana dan 2,427 Ijazah Sarjana Muda .

Nur Hana Mohamed Ariffin, graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Loh Chee Keen, graduan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja yang disampaikan oleh Canselor Universiti Malaya yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Tahun pertama saya menuntut di sini, pernah terdetik alangkah seronoknya kalau dapat Anugerah Pelajaran Diraja. Jadi saya terus memberikan fokus kepada pengajian dan pada masa sama aktif di dalam kokurikulum.

“Dalam kesibukan membahagikan masa diantara pelajaran dan kokurikulum, saya juga menjawat jawatan pengarah projek di kolej dan sentiasa membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti anjuran fakulti,” kata Nur Hana, graduan jurusan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (Pengurusan Sistem Maklumat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:53 AM