UIC komited lahirkan cendekiawan Islam. FOTO NSTP
UIC komited lahirkan cendekiawan Islam. FOTO NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KOLEJ Antarabangsa Unifield (UIC), di Nilai berbangga apabila dapat melahirkan kira-kira 100 personaliti televisyen, imam masjid, guru pendidikan Islam, usahawan muda, pakar motivasi dan penceramah sejak beroperasi pada 1997.

Pengarah Urusannya, Mohd Asna Amin berkata, beliau bersyukur apabila graduan yang dilahirkan mengimbangi kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Katanya, sepanjang 22 tahun beroperasi, 4,500 graduan berjaya menamatkan pengajian dan ada dalam kalangan mereka berkhidmat sebagai guru kafa, imam masjid, guru tadika, guru di pusat pembelajaran Islam, usahawan dan eksekutif muda.

“Selari hasrat penubuhan kolej, kami mahukan graduan memiliki ilmu duniawi dan ukhrawi yang seimbang. Bermula 2016, syarat tambahan dikenakan iaitu penuntut perlu menghafal surah Al Mulk, Al Waqiah, Al-Sajdah untuk menamatkan pengajian,” katanya memaklumkan ia dilaksanakan menerusi program Tilawah Al-Quran dan Fardhu Ain (TAFA).

Menurut Mohd Asna, ada dalam kalangan penuntut bergelar imam ketiga di masjid di Batang Benar, Pajam selain menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah di Universitas Medan, Universitas Islam Negeri Sumatera Utara dan Universitas Islam Thaha Shaifuddin Jambi di Indonesia.

“Bagi melahirkan cendekiawan Islam, pihak kami membantu penuntut dengan memberikan biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Kami bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan Bumiputera untuk menyediakan elaun sara diri, pengangkutan dan asrama. Bagi anak jati Negeri Sembilan, elaun RM200 sebulan diberikan selama 20 bulan termasuk asrama dan pengangkutan,” katanya ditemui pada majlis pelancaran kolej itu, baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai jurusan pengajian ditawarkan bagi tempoh dua hingga tiga tahun antaranya Diploma Syariah Islamiah, Diploma Perakaunan, Sains Komputer, Multimedia, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pengurusan Hartanah dan Kulinari. Mereka bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan maklumat berkaitan boleh melayari www.uic.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:43 PM