Milan: Alessandro Florenzi menjana kebangkitan Itali sekali gus menyaksikan Azzurri mengejutkan Norway 2-1 pada aksi terakhir kelayakan Euro 2016 di Stadio Olimpico, awal pagi semalam dan berjaya menamatkan kempen selaku juara Kumpulan H.

Itali memulakan aksi dengan baik dan mendominasi perlawanan tetapi selepas gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang, skuad kendalian Antonio Conte mula ketinggalan apabila Alexander Tettey memperdayakan Gianluigi Buffon dengan percubaan jarak jauh.

Itali yang tidak pernah tewas, menyamakan kedudukan pada minit ke-73 apabila pemain Roma, Florenzi tiba tepat pada masanya untuk menolak bola melepasi jangkauan Orjan Nyland dengan Graziano Pelle memastikan kemenangan seminit kemudian hasil hantaran lintang Florenzi.

Keputusan itu menyaksikan Itali yang tewas di final Euro 2012, mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan mengumpul kelebihan empat mata berbanding Croatia yang menundukkan Malta untuk berada di tangga kedua sambil Norway merampas slot automatik kedua.

Conte gembira dengan kemenangan itu tetapi beliau tetap tidak berpuas hati dengan sistem ranking yang diperkenalkan UEFA apabila menetapkan Itali tidak akan menjadi pasukan pilihan ketika undian pusingan akhir hujung tahun ini.

“Kami menamatkan saingan selaku juara kumpulan selepas kami bermain bermati-matian menentang Norway,” kata Conte.

“Saya memohon maaf kepada Norway tapi itulah bola sepak.

“Saya gembira kerana kami tetap berjaya bangkit sebagai pemenang walaupun satu ketika kami ketinggalan satu gol.

“Kami berada di landasan tepat. Persembahan pemain lebih penting berbanding kemenangan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:10 AM