AFP

Madrid: Sepanyol terus yakin pada aksi kelayakan ke Piala Dunia tahun depan apabila dua jaringan Isco dan ledakan Alvaro Morata lewat permainan mengetepikan cabaran Itali 3-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi semalam.

Isco tampil bintang dalam aksi hebat pasukan tuan rumah itu apabila sepakan percuma dan rembatan jarak jauh sebelum tamat babak pertama meletakkan Sepanyol di depan sebelum Morata yang turun sebagai pemain gantian menambah derita Itali.

“Isco menakjubkan, seperti juga rakan sepasukannya yang lain,” kata jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui.

“Dia meletakkan kami di depan dengan dua jaringannya.”

Kekalahan pertama Itali dalam kelayakan sejak 2006 bermakna Sepanyol kini mendahului Kumpulan G pada kelayakan itu dengan kelebihan tiga mata dengan berbaki tiga perlawanan, juga mempunyai kelebihan jaringan gol yang besar.

Skuad Azzurri kini berdepan dua aksi playoff yang lebih mencabar pada November untuk menempah tiket mereka ke Russia.

“Kami pernah melihat dalam perlawanan yang mana wujud perbezaan besar dari segi kualiti dan fizikal kedua-dua pasukan,” kata jurulatih Itali, Giampiero Ventura.

“Matlamat kami adalah bekerja keras untuk layak ke Piala Dunia dan tampil kompetitif pada Piala Dunia.”

Lopetegui memilih memulakan permainan tanpa penyerang yang dikenali apabila pemain Real Madrid, Marco Asensio membuat penampilan sulung kompetitif sebagai salah seorang daripada enam pemain tengah.

Asensio yang menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Real, banyak terbabit ketika jaringan awal biarpun rakan sepasukannya Isco menyudahkan gerakan pada minit ke-14.

Leonardo Bonucci bertuah kerana hanya dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Asensio.

Isco memanfaatkan sepakan percuma melepasi benteng pertahanan dan penjaga gol legenda Gianluigi Buffon, yang bergerak terlalu lambat.

Lima minit sebelum rehat, Isco merembat dengan kaki kirinya dan gagal diselamatkan Buffon.

Gol ketiga Sepanyol hadir 13 minit sebelum tamat apabila Sergio Ramos bergerak dari pertahanan untuk mengemudi serangan balas dan hantaran leretnya dimanfaatkan Morata yang terus menggegar gawang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 9:34 AM