GAYA tampan buat jejaka aktif.
GAYA tampan buat jejaka aktif.
PILIHAN kasut sesuai untuk digayakan pelbagai musim.
PILIHAN kasut sesuai untuk digayakan pelbagai musim.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan rekaan untuk musim luruh dan dingin 2015, Timberland sekali lagi menampilkan koleksinya dengan pilihan rona yang paling digemari golongan lelaki.

Koleksi Black Forest memberikan pilihan warna gelap hingga kelabu bersama kombinasi penampilan rona monokrom daripada penggayaan di bahagian kepala hingga ke kaki.

Selaras dengan trend fesyen global berkonsepkan rona kelabu arang, koleksi premium but kulit, pakaian kemas dan jaket moden menonjolkan silhouette bak jejaka bandar.

Skala warna kelabu digabungkan bersama tambahan perincian yang tidak dijangka pada keseluruhan rekaan koleksi berkenaan.

Rekaan jaket kulit Tenon diilhamkan oleh bayangan jaket klasik yang mewakili gaya lelaki tulen. Perincian kulit yang digilap dan lembut bersama butang tembaga serta lengan bergetah menambah gaya tampan si pemakai.

Potongan epaulette (bahagian bahu) dan bergetah di belakang jaket memberikan keselesaan dan keyakinan kepada gaya aktif.

Padankan jaket berkenaan bersama demim kelabu lusuh seperti seluar Thompson Lake Denim atau warna hitam bagi menonjolkan penampilan yang lebih tenang dan bersahaja.

Bukan hanya memberikan rasa panas pada badan ketika dipakai, namun koleksi jaket trench Hyvent Pico Peak turut menawarkan gaya yang bijaksana untuk semua pengembaraan.

Untuk mengharungi musim luruh dan sejuk, jaket berkenaan dicipta menggunakan teknologi Hyvent waterproof bersama tambahan butang.

Warna berbeza di bahagian dalam jaket juga menonjolkan gaya jalanan yang kemas. Keselesaan melalui musim sejuk tidak bermaksud penampilan kemas dan tampan perlu dilupakan.

Selain jaket, koleksi kasut but Briton Hill Moc Toe yang kalis air memudahkan jejaka kekal bergaya menarik untuk pelbagai perubahan musim.

Tidak hanya pada penampilan, malah si pemakai juga boleh merasai keselesaan dengan teknologi SensorFlex itu bertujuan untuk menampilkan sepatu ringan berprestasi tinggi dan membantu memberikan keselesaan.

SensorFlex terdiri daripada tiga lapisan luaran unik termasuk lapisan atas yang pejal bagi menyokong serta menstabilkan kaki. Ia turut memudahkan lenturan yang bertindak segera di permukaan kaki.

Gaya ditampilkan koleksi kasut but West Haven Waterproof Leather Chukka juga tidak kurang menariknya apabila mengekalkan gaya tulen dan klasik buat jejaka aktif.

Perincian di bahagian tepi tapak kasut serta rekaan luarnya dilengkapi dengan jahitan bak lakaran panel kayu di tengah untuk menonjolkan gaya elegan.

Rekaan kasut but ini juga disiapkan dengan teknologi sama bagi memberikan keselesaan berpanjangan kepada si pemakai dalam apa juga musim yang dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:49 AM