Oleh Nor Faizah Mohamed


Pada musim di mana setiap peragaan meletakkan gaya era 90-an sebagai cetusan inspirasi, Hugo by Hugo Boss tampak lebih menyerlah.

Sememangnya Hugo memanfaatkan sebaiknya zaman itu di mana bermulanya revolusi teknologi dan fesyen eksentrik, lalu diubah kepada paduan lebih kontemporari.

Utuh dengan DNA minimalis yang dipegangnya selama ini, Hugo mengabungkan tradisi maskulinnya dengan trend hip jalanan.

Celana santai diperincikan dengan zip kargo, kelepet neoprene digabung-kan bersama helaian rajut, sut dengan potongan halus serta cetakan papan pemuka komputer pada baju panas membuatkan himpunan kali ini lebih dominan.

Celana potongan lurus pula dipakai bersama jaket blouson kulit yang dilatari perca geometri.

Baju panas daripada bulu Merino pula ditambah perincian pada bahagian lengan dan pinggangnya.

Impak kontra dijadikan tema utama selain elemen teguh dan malar segar. Trend zaman ini sesekali diselang-selikan dengan cetusan gaya masa depan, sekali gus menyerlahkannya sebagai sesuatu yang tidak konformis.

Pada masa sama, Hugo meningkatkan lagi revolusi teknologinya menerusi helaian berilhamkan aeroangkasa terutama pada jaket Tweed dengan perincian nilon.

Pilihan ronanya hampir sama seperti musim lalu, cuma ada sesetengahnya sengaja diketengahkan warna elektrik khususnya biru yang disifatkan Hugo sebagai cubaan keluar dari zon selesa.

Rentak 90-an diteruskan pada pilihan aksesori antaranya kasut but dengan butiran elegan. Selebihnya, rekaan ringkas lebih banyak dipadankan untuk memberi keseimbangan pada keseluruhan gaya.

Sementara itu, koleksi Boss Menswear pula lebih bercirikan minimalisme moden dengan hasil rekaan kemas.

Pengembaraan di negara Scandinavia dijadikan inspirasi dalam himpunan ini lalu diadun bersama komponen terbaik yang menjadi tanda pengenalan Boss.

Kombinasi jaket boxy dan sut kelabu bersama baju panas jenis turtleneck menyerlahkan lagi gaya ikonik Boss.

Cetakan paisley abstrak biru kelasi pada jaket tuksedo baldu pula menonjolkan citra lebih bertenaga bersama paduan klasik seperti baju rajut dalam pilihan rona monokrom.

Aksesori yang diketengahkan pula lebih menekankan fungsinya yang sesuai untuk pengembara moden.

Beg tote dihasilkan lebih besar untuk lebih banyak ruang penyimpanan sementara but suede dihasilkan lebih ringan untuk memudahkan pergerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:00 AM