Agensi

Jakarta: Tiga lelaki warga Hong Kong terlepas hukuman mati semalam selepas sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara kepada mereka selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis methamphetamine.

Pendakwa raya sebelum ini memohon ketiga-tiga tertuduh dihukum mati selepas ditangkap bersama 49 kilogram methamphetamine di Jakarta.

Bagaimanapun, hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Ko Chi-yuen manakala dua lagi rakannya, Kwok Fu-ho dan Yang Wing-bun menerima hukuman penjara 20 tahun.

“Kesalahan tertuduh ini berlawanan dengan pendirian tegas Indonesia yang menentang penyalahgunaan dadah,” kata hakim mahkamah daerah Jakarta Barat, Edi Hasmi.

Kesemua tertuduh ditahan dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Jakarta Barat baru-baru ini.

Mereka dilaporkan baru mengambil dadah berkenaan dari seorang lelaki untuk diedarkan di negara ini.

Pada awal bulan ini, seorang lagi lelaki Hong Kong, Wong Chi-ping dihukum mati oleh mahkamah di Indonesia selepas didapati bersalah menyeludup 860 kilogram methamphetamine.

Indonesia antara negara yang mempunyai hukuman berat terhadap kesalahan berkaitan dadah dan memperuntukkan hukuman mati.

Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh pasukan penembak tepat.

Sejak 2014 seramai 14 pesalah dadah termasuk 12 warga asing dihukum mati di Indonesia.

Indonesia mempertahankan hukuman itu dan mahu menghukum beberapa pesalah dadah lagi walaupun menerima kecaman banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:01 AM