SEBUAH ambulans yang membawa keranda dilihat menaiki feri untuk ke penjara Nusa Kambangan. - Reuters
SEBUAH ambulans yang membawa keranda dilihat menaiki feri untuk ke penjara Nusa Kambangan. - Reuters
AP

Cilacap, Indonesia: Indonesia menolak rayuan ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menangguhkan hukuman mati terhadap 14 pesalah dadah yang dijangka dilaksanakan pada bila-bila masa.

Suruhanjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein berkata, dia sangat mengambil berat terhadap kes hukuman mati yang kurang telus dan tidak mematuhi hak untuk perbicaraan adil termasuk hak untuk merayu.

Dia juga mendesak kerajaan Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk menangguhkan sementara hukuman berkenaan.

EU pula mendakwa hukuman mati adalah satu penafian terhadap maruah kemanusiaan dan menggesa Indonesia menyertai 140 negara yang sudah menghapuskan hukuman mati.

Bagaimanapun, jurucakap pejabat peguam negara, Muhammad Rum berkata, hukuman itu adalah pelaksanaan undang-undang negara itu yang positif dan tidak akan ditangguh atau dihentikan.

“Semua kes sudah melalui proses perundangan yang panjang termasuk rayuan,” katanya.

Jakarta sebelum ini mempertahankan hukuman mati dengan alasan ia perlu untuk menangani masalah dadah yang semakin berleluasa di negara itu.

Sementara itu, beberapa ambulans yang membawa keranda dilihat tiba pagi semalam di Cilacap, bandar pelabuhan berhampiran penjara pulau Nusa Kambangan, lokasi hukuman mati dijalankan.

Beberapa sumber memberitahu hukuman mati itu bakal dijalankan awal hari ini.

Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak tepat dan dijalankan secara serentak untuk semua pesalah.

Indonesia tidak mendedahkan nama rasmi pesalah yang bakal dihukum mati, tetapi jurucakap Peguam Negara kelmarin memberitahu, seramai 14 pesalah akan menjalani hukuman itu kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:06 AM