Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia semalam berkata, jadual pelaksanaan hukuman mati ke atas 11 banduan - kebanyakannya kerana kesalahan dadah - tidak akan ditangguhkan.

Jokowi juga mengingatkan negara asing supaya tidak campur tangan terhadap hak Jakarta melaksanakan hukuman mati seperti termaktub dalam undang-undangnya.

Kata Jokowi, Jakarta sangat bertegas menolak sebarang gangguan dari negara luar terhadap hak Indonesia melaksanakan hukuman mati.

“Kami berhak menjalankan undang-undang kami,” katanya kepada media.

Sebelum ini Jokowi menolak permohonan banduan terbabit - termasuk pesalah warga asing - yang sedang menunggu masa menjalani hukuman mati di penjara.

Ketegasan itu mendapat tentangan daripada pemimpin asing, termasuk dari Australia, Brazil dan Perancis.

Jokowi mendedahkan, dia mendapat panggilan telefon daripada pemimpin Perancis, Brazil dan Belanda sebelum ini tetapi tidak menyebut mengenai Australia.

Dua daripada banduan terbabit ialah warga Australia.

Indonesia memperuntukkan hukuman mati bagi pesalah dadah dan ia kembali dilaksanakan pada 2013 selepas kali terakhir ia dilakukan lima tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:38 AM