Pintu masuk utama ke Penjara Pulau Nusakambangan yang hanya dihubungkan dengan perkhidmatan feri. - Foto Fail/Jakarta Post
Pintu masuk utama ke Penjara Pulau Nusakambangan yang hanya dihubungkan dengan perkhidmatan feri. - Foto Fail/Jakarta Post
Reuters

Jakarta: Indonesia sedang membuat persiapan melaksanakan hukuman mati beberapa banduan menggunakan kaedah skuad menembak di penjara di Pulau Nusakambangan, setahun selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap pengedar dadah rakyat asing yang dikecam negara asing.

Pentadbiran Presiden Joko Widodo bertegas terus melaksanakan hukuman mati di negara itu walaupun dikritik pertubuhan hak asasi kerajaan asing.

“Kami sudah diberi arahan untuk membuat persiapan, termasuk mengecat dan baik pulih lokasi pelaksanaan hukuman itu kerana mungkin agak ramai menjalani hukuman,” kata jurucakap polis Jawa Tengah, Aloysius Lilik Darmanto.

Menurutnya, skuad penembak juga sudah menjalani latihan dan menerima kaunseling namun enggan menyatakan jumlah banduan bakal menjalani hukuman itu atau kemungkinan ada rakyat asing.

April tahun lalu, Indonesia melaksanakan hukuman mati terhadap lapan pengedar dadah, termasuk tujuh rakyat asing yang dikecam kerajaan Australia dan Brazil yang merayu rakyat mereka tidak menjalani hukuman mati.

Tidak diketahui jumlah rakyat asing yang dihukum mati namun antaranya, termasuk wanita Britain, Lindsay Sandiford, 59, yang dihukum mati pada 2013 kerana cuba menyeludup kokain bernilai $2.5 juta ke Indonesia, seorang rakyat Perancis dan seorang Filipina.

Indonesia menangguhkan hukuman mati selama lima tahun sebelum dilaksanakan kembali pada 2013 dan 14 banduan, sebahagian besarnya rakyat asing sudah menjalani hukuman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 3:40 PM