DUA wanita Thai dan lelaki Perancis ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai. FOTO: AFP
DUA wanita Thai dan lelaki Perancis ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai. FOTO: AFP
AFP

DENPASAR: Dua wanita warga Thailand dan seorang lelaki Perancis bakal berdepan hukuman tembak selepas ditangkap menyeludup dadah ke Bali.

Agensi kastam negara itu berkata, dua rakyat Thailand dikenali sebagai Kasarin Khamkhao dan Sanicha Maneetes dilaporkan menaiki penerbangan dari Bangkok minggu lalu sebelum ditahan pegawai bertugas.

Pemeriksaan pada wanita itu kemudian menemui dadah jenis methamphetamine hampir sekilogram di bawah pakaian mereka.

“Ujian makmal mengesahkan semua bungkusan mengandungi methamphetamine seberat 958 gram,” kata ketua imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Himawan Indarjono.

Kedua-dua suspek masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan operator kedai sewa motosikal di Thailand mungkin berdepan hukuman tembak mati jika didapati bersalah.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki Perancis, Olivier Jover ditahan di Bali selepas ditahan bersama satu bungkusan mengandungi kokain seberat 22.5 gram.

Dia juga bakal berdepan penjara seumur hidup atau berdepan skuad penembak.

Indonesia pernah menembak mati pesalah dadah rakyat asing sebelum ini termasuk dua dalang kumpulan Bali Nine pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 7:56 PM