ALEKSANDRA (kanan) tenang ketika menunggu keputusan perbicaraannya di mahkamah daerah Denpasar di Bali, semalam.
ALEKSANDRA (kanan) tenang ketika menunggu keputusan perbicaraannya di mahkamah daerah Denpasar di Bali, semalam.

Bali: Seorang wanita warga Russia terlepas hukuman mati apabila dihukum penjara selama 16 tahun setengah oleh sebuah mahkamah di sini, semalam selepas didapati bersalah menyeludup dadah.

Hukuman terhadap Aleksandra Magnaeva, 26, itu dilihat mengejutkan selepas tujuh pesalah warga asing yang didapati bersalah mengedar dadah menjalani hukuman mati beberapa minggu lalu.

Aleksandra ditahan pada Disember tahun lalu selepas begnya mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.1 kilogram.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Bali ketika tiba dari Hong Kong.

“Sekiranya tertuduh terlepas, sudah pasti beribu-ribu remaja negara ini berada dalam bahaya,” kata Hakim Daerah Denpasar, Wayan Sukanila.

Ujarnya, hukuman terhadap wanita itu dikurangkan kerana tertuduh menyesal dengan perbuatannya itu.

Di Indonesia, tertuduh yang didapati bersalah mengedar dadah boleh dikenakan hukuman mati.

Ketika siasatan, Aleksandra memberitahu teman lelakinya di China mengarahkan dia menyerahkan dadah itu kepada seorang lelaki di Bali.

Katanya, dia membawa dadah itu dari tanah besar China ke Hong Kong sebelum menaiki penerbangan ke Bali.

Indonesia dikritik antarabangsa selepas menembak mati lapan pesalah dadah termasuk tujuh warga asing, bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:20 AM