Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Setiausaha Kerja parti Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (di kiri Najib) sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bermula di Bangunan Parlimen, petang tadi. - Foto BERNAMA

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Tidak seperti kebiasaan setiap Perhimpunan Agung UMNO, Timbalan Presiden UMNO kali ini tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan cadangan sayap berkenaan dalam mesyuarat sebelum ini.

"Perasmian berasingan. Ini diputuskan hasil cadangan sayap masing-masing, mereka bawa dalam mesyuarat. Itulah kehendak mereka, dan kita menghormatinya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Sementara Parlimen di sini hari ini.

Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menghadiri mesyuarat itu.

Pengumuman berkenaan sekali gus melenyapkan desas-desus kononnya mesyuarat MT hari ini akan mengambil tindakan terhadap Muhyiddin serta Mohd Shafie berhubung tindakan mereka mengkritik kepimpinan Najib dan isu 1MDB.

Sementara itu,  mesyuarat MT berkenaan sepatutnya berlangsung pada 27 November ini tetapi diawalkan kerana faktor kekangan waktu selain persiapan bagi Perhimpunan Agung UMNO bermula 8 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 9:08 PM