MUHYIDDIN disambut pewakilan Pemuda Umno, semalam.
MUHYIDDIN disambut pewakilan Pemuda Umno, semalam.

Kuala Lumpur: Angguk dan geleng. Itu reaksi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus diajukan pelbagai soalan sebelum meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Apabila ditanya sama ada akan kekal sebagai pemimpin nombor dua parti, beliau hanya mengangguk tanda setuju tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun kepada media.

Beliau juga hanya menggeleng ketika ditanya sama ada perasaannya gentar jika dikenakan tindakan disiplin berikutan desakannya supaya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berehat seketika bagi membolehkan siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan secara telus.

Sebelum itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sempat meluangkan masa hampir dua jam melaksanakan tugas tradisinya seperti tahun-tahun sebelum ini meninjau perjalanan persidangan tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tahun ini, format baru persidangan sayap parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang diperkenalkan dengan perasmian disempurnakan oleh ketua sayap masing-masing.

Muhyiddin tiba di PWTC kira-kira jam 3 petang diiringi isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang kemudian bersama-sama Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyertai Persidangan Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail.

Kehadiran mereka disambut dengan tepukan gemuruh oleh perwakilan.

Kedua-dua pemimpin terbabit turut menerima sambutan hangat sebaik tiba pada Persidangan Puteri di Dewan Tun Hussein sebelum ke Dewan Merdeka untuk mendengar perbahasan Persidangan Wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:55 AM