Najib bersalaman dengan Muhyiddin  selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Dewan Merdeka, PWTC, hari ini. FOTO Shahril Badri Saali
Najib bersalaman dengan Muhyiddin selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Dewan Merdeka, PWTC, hari ini. FOTO Shahril Badri Saali

Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang melabuhkan tirainya hari ini memberi isyarat jelas mahukan pemimpin yang bersengketa supaya berdamai demi kepentingan parti.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, perhimpunan agung yang juga kuasa tertinggi dalam perlembagaan parti sudah memberi mesej utama tidak mahu pertelingkahan dan persengketaan di kalangan pemimpin berterusan dalam parti.

"Mesej dan isyarat ini amat jelas bahawa mereka mahu kita berdamai dan selesaikan (krisis) mengikut mandat syura dalam jemaah UMNO.

"Ini kehendak perhimpunan...bukan saya secara peribadi atau saya sebagai presiden UMNO, perhimpunan yang membuat ketetapan dan mesejnya jelas," kata Najib dalam sidang media selepas menggulung ucapan dasar presiden, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden, Najib yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan telah membuka pintu silaturahim kepada ‘penentangnya’ pada akhir perhimpunan itu.

Ketika penggulungan itu, Najib berkata beliau memilih berjiwa besar untuk berdamai dalam usaha mengukuhkan ikatan UMNO.

Ditanya mengenai penerimaan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada salam ukhwah yang dihulurnya, Najib berkata: "Itu kena tanya dialah...".

Muhyiddin yang hadir pada sesi penggulungan itu dilihat turut bangun dan memberi tepukan serta bersalaman dengan Najib, sebaik beliau selesai membuat penggulungan itu.

Sebelum ini, majoriti perwakilan UMNO, bermula daripada perhimpunan sayap parti sehinggalah perhimpunan agung menyuarakan hasrat untuk melihat perdamaian khususnya dalam kalangan pucuk pimpinan parti.

Pergerakan Wanita UMNO yang bermesyuarat pada Rabu, melalui ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, antara lain meminta presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden bersatu kembali sebagai satu pasukan.

Shahrizat juga menyarankan Muhyiddin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya duduk berbincang dengan kepimpinan tertinggi UMNO bagi menyelesaikan perbezaan antara mereka. Pandangan sama turut disuarakan beberapa perwakilan dalam perbahasan semalam, antaranya wakil UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir yang merayu barisan kepimpinan parti berdamai dan kembali bersatu. Wakil UMNO Melaka Mustafa Musa, yang senada dengan Musa, berkata anggota UMNO mahu pemimpin parti berdamai untuk kebaikan UMNO dan bangsa Melayu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan perhimpunan kali ini, Najib berkata secara keseluruhan ia menampakkan semangat dalam UMNO masih kukuh dan kental.

"Saya percaya isyarat daripada perhimpunan agung ini pun amat jelas. Harap-harap lepas ini, kita boleh bergerak ke hadapan dengan penuh semangat untuk menghadapi semua cabaran yang perlu kita tangani," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:19 PM